Skip to main
Logo Malaysiakini

Asas utama dasar luar Malaysia kekal, kata menteri luar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Asas-asas utama dasar luar Malaysia seperti dasar berkecuali dan kerjasama dengan negara-negara lain akan terus dikekalkan, kata Menteri Luar yang baru Zambry Abdul Kadir.

Zambry yang memulakan tugas rasminya di Wisma Putra hari ini berkata aspek-aspek lain yang berkaitan dasar luar bagaimanapun memerlukan penjelasan dan penelitian mendalam daripada Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.

Zambry berkata beberapa aspek akan menjadi keutamaan termasuk hubungan dengan negara-negara tertentu yang memerlukan tinjauan semula.

“Daripada segi fokus sama ada perlu diberikan kepada negara A atau negara B. Yang ini kita perlukan petunjuk daripada perdana menteri, termasuk isu-isu tertentu yang perlu ditangani.

“Sebagai contoh, hubungan dengan Asean, satu daripada dasar luar yang sangat penting untuk diberikan keutamaan, hubungan dengan negara-negara kuasa besar, Asia Barat dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama warga Wisma Putra, di Putrajaya, hari ini.

Ditanya mengenai isu-isu yang dekat dengan Malaysia seperti Palestin dan Myanmar, dia berkata perkara berkenaan perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum dia boleh membuat sebarang kenyataan.

Zambry merupakan seorang daripada 25 menteri kabinet baru yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu.

-Bernama