Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Bukan bertujuan robohkan empayar Syed Mokhtar’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anwar Ibrahim menegaskan arahan kerajaan supaya syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berkongsi keuntungannya dengan pesawah miskin, bukan bertujuan merobohkan empayar perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Bercakap kepada pemberita selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai menteri kewangan di Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya, pagi ini, Anwar menjelaskan perbincangan dengan Syed Mokhtar telah diadakan sebelum keputusan berkenaan dibuat.

Katanya, jutawan itu juga bersetuju dengan keputusan memperuntukkan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta pada tahun hadapan.

“Saya tak buat keputusam tanpa berunding. Saya kenal dia, dan saya tahu dia (Bernas) syarikat besar. Bukan maksud saya nak robohkan empayar dia.

“Bila bincang, saya bincang dengan baik. Saya kata, mana boleh tengok soal pemimpin bercakap soal Islam Melayu berdegar-degar, tapi bila kata nak pulangkan sikit kepada pesawah padi, nak pertahankan juga tauke yang besar.

“Dan dia setuju dnegan mudah, tak sempat jumpa, telefon saja. Saya ucap terima kasih kepada dia juga,” kata Anwar sambil menambah keputusan itu tertakluk kepada rundingan teliti esok.

Syed Mokhtar Al-Bukhary

Sebagai rekod, Syed Mokhtar menguasai 92 peratus saham Bernas, yang diperolehinya pada 2014 daripada Shahidan Kassim dan ahli perniagaan Tan Boon Seng.

Anwar berkata demikian ketika mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa dia kini menjadikan usahawan Melayu sebagai sasaran.

Malam tadi, Menteri Besar Kedah Sanudi Md Nor juga dilaporkan mendakwa Anwar hanya berani menegur Syed Mokhtar dalam kalangan tokoh korporat kaya di negara ini kerana dia dalah “Melayu dan mudah dibuli”.

Sebagai respons, katanya perkara itu dipolitikkan hanya kerana dia ingin melakukan yang terbaik untuk membantu pesawah miskin.

“Untuk jamin masa depan petani pesawah ini, saya ambil langkah untuk berunding dengan Syed Mokhtar dan cuba bantu. Saya tak faham kenapa ini jadi masalah.

“Apa yang jadi masalah sangat ini dalam negara. Apa yang nak dipolitikkan?

“Saya ambil keputusan, dan bukan mudah kerana berdepan dengan konglomerat yang berbillion-bilion. Macam perjudian juga. Ini semua syarikat yang paling kaya dalam negaar kita. Saya ambil keputusan dasar,” kata Anwar.

Sementara itu, Anwar berkata bahawa isu membabitkan Bernas telah berlarutan selama beberapa dekad, sambil menekankan bahawa sudah tiba masanya untuk menyelesaikan perkara yang mendesak itu.

“Dah berpuluh tahun dah Bernas ini, kali pertama saya kata enough is enough.

“Ada kuasa, buat sedaya upaya. Sebaik kita boleh berunding secara teliti, faedah kepada pesawah padi miskin lebih baik.

“Jerit la sekuat mana pun Melayu dan Islam, tapi nasib orang Melayu yang miskin tak terbela, tak ada makna bagi saya,” katanya lagi.