Skip to main
Logo Malaysiakini

Akta hasutan banyak diguna di era Ismail Sabri - NGO

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 terus digunakan oleh pentadbiran persekutuan terdahulu di bawah teraju perdana menteri Ismail Sabri Yaakob ketika itu untuk membanteras hak individu terhadap kebebasan bersuara, menurut kumpulan hak asasi manusia Suaram.

Suaram dalam Laporan Hak Asasi Manusia tahunannya, yang dilancarkan hari ini, merekodkan 11 kes di bawah Akta Hasutan dan 75 kes di bawah CMA dari 5 Jan hingga 26 Okt tahun ini.

Beberapa kes hasutan berdasarkan siaran dalam talian juga disiasat di bawah CMA, menunjukkan aliran meningkat yang dikenal pasti oleh Suaram dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang telah memperluaskan peruntukan "kuno" akta hasutan.

Pelbagai kes dicatat mengenai siasatan tanpa penahanan, tangkapan dan reman, individu yang didakwa dan individu yang disabitkan kesalahan.

“Sama seperti kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran Ismail Sabri terus membanteras kebebasan bersuara menggunakan undang-undang yang menindas seperti akta hasutan dan CMA.

“Jumlah penyiasatan dan pertuduhan di bawah kedua-dua undang-undang itu terus tinggi pada 2022 dan kebanyakannya digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara,” kata Suaram dalam laporannya.

"Mengikuti corak yang ditetapkan pada tahun-tahun sebelumnya, penyiasatan dan pertuduhan di bawah undang-undang ini kebanyakannya berkembang di sekitar isu-isu sensitif politik kaum, istana dan agama," katanya.

Suaram berkata Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia juga digunakan untuk menyekat pemberi maklumat, terutamanya siasatan terhadap Lalitha Kunaratnam, yang mendedahkan skandal pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

'Tiada pengharaman penerbitan'

Penyelaras Suaram Wong Yan Ke, yang membentangkan ringkasan laporan itu semasa pelancarannya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini, berkata perkembangan positif dikenal pasti dengan tiada sebarang larangan penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Tambahan pula, mahkamah terus bertindak berdasarkan bidang kuasa kehakiman dan membatalkan pengharaman dua penerbitan,” kata Wong, merujuk kepada keputusan berasingan terhadap dua buku, ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ dan ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’.

Bagaimanapun, Wong mencatatkan kemerosotan dalam hak untuk berhimpun, dengan empat individu didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 selepas lima tahun berturut-turut siasatan dibuat tanpa membawa kepada tindakan mahkamah.

Laporan Suaram merekodkan 50 perhimpunan yang menyaksikan enam kumpulan terdiri daripada 110 individu, dan 44 yang lain, disiasat di bawah akta perhimpunan aman kerana gagal memberikan notis lima hari kepada pihak berkuasa sebelum perhimpunan diadakan.

"Kami mengulangi bahawa keperluan notis lima hari adalah birokrasi dan melanggar hak untuk perhimpunan segera," kata Wong.

Selain pertuduhan bawah akta perhimpunan aman, laporan Suaram merekodkan pendakwaan berkaitan di bawah Seksyen 90 Akta Polis, Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan), dan Akta Kesalahan Kecil.