Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PH Padang Serai optimis, sokongan meningkat di saat akhir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kurang 24 jam lagi sebelum pengundian Padang Serai bermula, calon PH Mohamad Sofee Razak berkata dia optimis tentang peluangnya memenangi pilihan raya esok.

Sofee berkata dia melihat sokongan yang semakin meningkat daripada pengundi apabila kempen berakhir malam ini di Padang Serai.

“Saya dapat melawat kira-kira 50 peratus pengundi Melayu, 90 peratus pengundi Cina dan 80 peratus pengundi India di kawasan ini.

“Saya dapat lihat sekarang perubahan sikap pengundi selepas calon Warisan dan Barisan Nasional menarik diri daripada bertanding,” katanya.

Katanya, dia lebih yakin dengan kemenangannya selepas majlis ceramah mega yang diadakan di Taman Tunku Putra di Lunas pada malam Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli – yang juga masing-masing pengerusi BN, setiausaha agung PKR dan timbalan presiden PKR – berucap kepada orang ramai yang hadir perhimpunan malam itu.

Calon BN C Sivarraajh – yang menarik diri daripada bertanding minggu lalu – turut berucap pada majlis itu dan memberikan sokongannya kepada Sofee.

Kempen pilihan raya selama 14 hari bagi Padang Serai akan berakhir tengah malam ini.

Sofee berkata dia dapat melihat perubahan sikap pengundi sejak minggu lalu selepas PH membentuk kerajaan baru bersama BN dan parti lain dari Sabah dan Sarawak kerana orang ramai kini percaya dia boleh membawa pembangunan di kawasan itu.

“Mereka percaya saya dari parti pemerintah (dan jadi saya) boleh membawa penyelesaian segera untuk isu banjir, sambungan internet dan sistem jalan raya serta pengangkutan awam yang lebih baik ke kawasan itu.

“Seperti yang diminta orang ramai, saya juga boleh membantu untuk menambah klinik kesihatan awam dan membina hospital berasingan untuk Padang Serai dengan peralatan perubatan terkini memandangkan Hospital Kulim telah mencapai kapasiti penuh sekarang,” jelasnya.

PRK Padang Serai berlangsung esok selepas ia ditangguhkan berikutan kematian calon PH yang juga penyandang kerusi itu M Karupaiya beberapa hari sebelum pengundian PRU15 pada 19 Nov.

Walaupun calon BN dan Warisan menarik diri untuk memberi laluan kepada Sofee, terdapat enam nama pada kertas undi esok, iaitu Sofee, Sivarraajh, Azman Nasrudin dari PN, Hamzah Abd Rahman dari Pejuang, Bakri Hashim dari Warisan dan calon bebas Sreanandha Rao.

[Baca berita penuh]