PANDUANKINI | Perihal perjanjian CPTPP dan kenapa ada membantah
PANDUANKINI | Kurang 24 jam selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Anwar Ibrahim menerima satu memorandum yang menggesa tindakan segera daripadanya.
Memorandum itu menggesa kerajaan baru membatalkan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sebelum ia berkuat kuasa lima tahun lagi.
Belum ada tindakan tentang perkara itu dan kini timbul gesaan agar kerajaan menilai semula pendirian terhadpa CPTPP dan menarik diri dari perjanjian yang telah ditandatangani pentadbiran sebelum ini.
Apakah CPTPP dan mengapa ia ditolak sejumlah pihak? Panduankini meneroka isu ini.
Apakah CPTPP?
CPTPP bermula sebagai Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) - perjanjian perdagangan antara 12 negara di Lingkaran Pasifik:
Australia
Brunei
Kanada
Chile
Japan
Malaysia
Mexico
New Zealand
Peru
Singapura
Amerika Syarikat
Vietnam
Ditandatangani pada 2016, ia antara lain mensyaratkan negara untuk memansuhkan tarif terhadap barangan import tertentu dari negara TPPA lain, serta menetapkan syarat untuk perdagangan.
Pada 2017, AS di bawah pentadbiran Donald Trump membatalkan TPPA.
Ia menyebabkan 11 negar lain memeterai perjanjian baru bagi menegaskan komitmen mereka pada Mac 2018. Perjanjian baru itu dinamakan CPTPP.
Namun, setiap negara meratifikasinya pada tarikh berbeza, dan masa ia mula berkuat kuasa juga berbeza.
Sementara itu, negara-negara lain termasuk China, United Kingdom, Filipina dan Thailand juga menyatakan minat untuk menyertai perjanjian.
Bila ia berkuat kuasa bagi Malaysia?
Malaysia meratifikasi CPTPP pada 30 September dan ia berkuat kuasa 60 hari kemudian, iaitu pada 30 November.
Bagi yang menyokongnya, Malaysia terlambat tiga tahun menyebabkan syarikat di negara ini tertinggal di belakang.
Mengapa Malaysia tanda tangan?
Kerajaan sebelum ini berkata ia diunjurkan membawa peningkatan perdagangan kepada AS$655.9 bilion (RM2.8 trilion) pada 2030.
Analisis PWC menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia boleh meningkat 1.9 peratus pada 2030 jika Malaysia menyertai CPTPP, atau meningkat 4.2 peratus jika China dan UK turut menyertainya.
Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) pula berkata CPTPP amat penting dalam memberi akses kepada pasaran lebih besar, terutama Kanada, Mexico dan Peru.
Malaysia tiada perjanjian perdagangan dengan tiga negara ini - dengan jumlah keseluruhan KDNK sejumlah AS$3.5 trilion.
Adakah CPTPP sama dengan TPPA?
Tidak. Walaupun CPTPP mengambil kebanyakan peruntukan dalam TPPA, sebanyak 22 daripada peruntukan asal digantung dalam perjanjian baru itu.
Namun, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), kedua-dua perjanjian perlu dibaca secara bersama.
Selain perjanjian utama, Malaysia turut memeterai perjanjian bilateral tambahan dengan negara anggota berkaitan pelbagai perkara.
Ia termasuk lebih 20 perjanjian antaranya berkenaan perkhidmatan pembayaran elektronik dan buruh biodiversiti, dengan negara seperti Brunei, Canada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru dan Vietnam.
Jika ia sama seperti TPPA yang sudah berkuat kuasa, kenapa ada gesaan untuk tarik balik?
Pemeteraian TPPA mencetuskan kontroversi atas pelbagai sebab.
Banyak kumpulan yang menentang TPPA melihat CPTPP sebagai peluang untuk menambah baik apa yang telah ditandatangani di bawah TPPA, manakala ada juga yang melihat ia sebagai peluang untuk keluar sepenuhnya dari perjanjian.
Apakah isu berkenaan TPPA?
Ada dua kritikan utama - ia dilihat menjejaskan kedaulatan negara dan berisiko meningkatkan kos perubatan yang akhirnya menjejaskan kesihatan awam.
Bagaimana perjanjian perdagangan bebas boleh jadikan ubat lebih mahal?
TPPA mengandungi apa yang disifatkan pejuang kesihatan awam sebagai "piawaian harta intelek yang agresif" yang berpihak kepada kepentingan komersial berbanding kesihatan awam.
Kebanyakan dasar berkaitannya dibawa oleh kerajaan Amerika Syarikat dan dimasukkan dalam rangka akhir perjanjian.
"Untuk farmaseutikal dan komoditi kesihatan lain, regim harta intelek yang lebih ketat bermakna lanjutan monopoli paten dan penangguhan persaingan ubatan generik, dan ia membawa kepada harga yang lebih tinggi kepada orang yang memerlukan ubat," kata Medicins Sans Frontiers.
Contohnya, satu peruntukan menyatakan tempoh paten akan dilanjutkan jika ada penangguhan untuk peruntukan pasaran dalam negara anggota.
Namun, pada 2015, Miti berkata Malaysia tidak berdepan risiko itu kerana kelulusan paten dan pemasaran negara untuk farmaseutikal di tahap yang baik, justeru penangguhan tidak berlaku.
Miti berkata negara TPPA juga sebahagian dalam pengisytiharan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang membolehkan negara melaksanakan langkah demi kesihatan awam.
Adakah CPTPP ada peruntukan sama berkaitan harta intelek?
Sejumlah peruntukan ini antara yang digantung dalam CPTPP.
Namun, pejuang kesihatan awam tetap bimbang kerana ia hanya penggantungan sementara, bukan dibuang sepenuhnya.
"Peruntukan-peruntukan ini tidak dibuang dari teks dan risiko tetap ada yang ia akan diwartakan pada masa akan datang," kata Medicins Sans Frontiers.
Mengapa TPPA dikatakan mengancam kedaulatan negara?
Isu kedaulatan berkait dengan mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur Negara (ISDS) dalam perjanjian. Ia memberi hak kepada pelabur untuk saman negara anggota di mahkamah di luar negara tersebut.
Para pengkritik berkata ia menghalang hak kerajaan untuk memperkenalkan dasar yang boleh menjejaskan pelabur luar.
Badan pemikir AS, Center for Strategic and International Studies berkata banyak negara membangun mahukan ISDS untuk menarik pelaburan kerana kelemahan sistem kehakiman mereka sendiri yang meningkatkan risiko untuk melabur.
Namun, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membangkitkan negara perlu membayar syarikat sebanyak berbilion dalam kes ISDS di bawah perjanjian perdagangan yang lain.
Misalnya, pada akhir 1990-an, kerajaan Kanada mengharamkan eksport sisa toksik bagi mematuhi Konvensyen Basel.
Syarikat AS, SD Myers kemudian memfailkan saman berjumlah AS$20 juta terhadap kerajaan Kanada di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta). Tuntutan itu disahkan oleh tribunal Nafta.
Kerajaan memang sentiasa tewas dalam kes ISDS?
Tidak. Ada juga kes yang berpihak kepada kerajaan.
Pada 1999, seorang pelabur Belgium mendakwa dia kerugian AS$2.3 juta di Bursa Saham Kuala Lumpur ekoran pelaksanaan kawalan tukaran asing. Dia tewas kes ISDS yang difailkan.
ISDS itu difailkan di bawah perjanjian pelaburan Belgium-Luxembourg-Malaysia.
Menurut PWC, Malaysia telah berdepan tiga kes ISDS, dengan satu kes selesai secara aman dan dua lagi berpihak kepada negara.
Adakah kedaulatan masih jadi isu dalam CPTPP?
Ya. Bahagian Pelaburan dalam CPTPP turut mengandungi peruntukan untuk IDS.
Walaupun peruntukan itu tidak seluas berbanding dalam TPPA, pihak seperti Gabungan Kedaulatan Negara berkata CPTPP ada kuasa untuk menghalang kerajaan daripada memperkenalkan dasar seperti kawalan pergerakan untuk kesihatan awam.
Pada tahun lalu, pemegang konsesi lapangan terbang Perancis memfailkan ISDS terhadap Chile selepas kehilangan pendapatan ekoran sekatan wabak Covid-19.
Syarikat tersebut menuntut kerugian keseluruhan berjumalh AS$37 juta, mendakwa keuntungan mereka merosot 90 peratus.
Konflik memburuk selepas kerajaan enggan memberi bantuan kewangan atau melanjutkan konsesi syarikat itu. Kes ini masih dalam proses timbang tara.
Pengkritik berkata pelabur asing juga menggunakan ISDS untuk mengugut kerajaan agar menarik balik dasar tertentu.
Pada April 2020, Peru dilaporkan mengumumkan pelan untuk mengantung kutipan tol di lebuh raya untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Namun 18 pemegang konsesi, yang merupakan pelabur asing, terus mengenakan bayaran tol dan mengancam akan membuat tuntutan ISDS jika kerajaan bertindak balas.
Mengapa kumpulan perniagaan Melayu bantah CPTPP?
Antara pihak paling lantang membantah CPTPP adalah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu yang mewakili kira-kira 500,000 perniagaan milik orang Melayu.
Antara aspek yang mungkin menjadi tumpuan perniagaan milik orang Melayu adalah peruntukan untuk akses sama rata terhadap perolehan kerajaan.
Ini kerana CPTPP adalah perjanjian perdagangan pertama Malaysia yang merangkumi komitmen akses terhadap perolehan kerajaan, dengan tujuan mewujudkan akses terbuka dan saksama kepada semua pembekal tempatan dan luar negara.
Ini boleh memberi kesan kepada dasar mesra-bumiputera dalam perolehan kerajaan.
Namun, menurut analisis PWC, Malaysia diberi keanjalan untuk mengutamakan syarikat bumiputera dan tempatan, seperti nilai ambang perolehan yang tinggi dan tempoh peralihan.
Laporan itu menyatakan ini memberi kelebihan kepada perniagaan tempatan kerana ia mendapat akses pasaran perolehan kerajaan di negara anggota CPTPP, yang memiliki nilai ambang perolehan yang lebih rendah.
Antaranya Vietnam, di mana syarikat Malaysia sebelum ini tiada akses secara langsung terhadap perolehan kerajaannya.
Apa lagi yang menjadi kebimbangan?
Kumpulan yang menentang CPTPP berkata ia tidak adil terhadap Malaysia - yang menjanjikan tiada tarif import untuk negara anggota lain - sementara negara seperti Jepun dan Kanda tetap boleh mengenakan tarif pada kadar tertentu untuk industri utama.
Mereka berpandangan ia akan membolehkan negara anggota melambakkkan barangan mereka ke pasaran Malaysia dan memberi kesan kepada keseimbangan pembayaran.
Misalnya, import kereta Jepun boleh menenggelamkan eksport Malaysia ke negara itu, kata CAP.
Kata CAP lagi, ia turut akan menjejaskan peluang pekerjaan dalam industri pembuatan automatif.
Persatuan Keluli Malaysia pula menjangka kehilangan pegangan dalam pasaran apabila semakin banyak keluli import masuk ke pasaran.
Namun, analisis PWC berkata para pengguna akan mendapat manfaat daripada pilihan dan harga yang lebih kompetitif.
Apa pandangan kerajaan baru terhadap CPTPP?
Ahli Parlimen PN Wan Saiful Wan Jan mendakwa gesaan agar negara tarik diri kian kuat kerana kecenderungan kiri Anwar.
Kiri atau tidak, Anwar pada November 2021 berhujah di Parlimen agar kerajaan menyemak semula perjanjian itu.
Katanya, kepentingan negara harus dijaga dalam aspek perolehan kerajaan, harta intelek dan tindakan afirmatif.
Selaku perdana menteri dan menteri kewangan, Anwar setakat ini belum menjelaskan pendirian kerajaan terhadap CPTPP.
Namun dia tidak menepati garis masa yang diberikan untuk menarik balik ratifikasi sebelum ia berkuat kuasa pada 30 November, dua hari sebelum barisan kabinet diumumkan.
Adakah Malaysia boleh tarik diri? Patutkah tindakan itu diambil?
Ya, mana-mana negara anggota boleh tarik diri dengan memberi notis bertulis enam bulan.
Namun sama ada ia langkah yang baik atau tidak, bergantung kepada siapa yang ditanya.
Bagi kebanyakan penyokong pasaran bebas dan sektor perniagaan, langkah menarik diri boleh membawa kesan buruk untuk akses kepada pasaran luar serta kemasukan pelabur luar ke dalam negara.
Ada juga kebimbangan ia satu tindakan yang ketinggalan, memandangkan kian banyak negara yang menunjukkan minat menganggotainya.
Namun, kalangan yang mengkritik CPTPP yakin kelebihannya tidak dapat menandingi risiko terhadap kepentingan awam dan kedaulatan negara.
Mereka juga yakin Malaysia sudah ada perjanjian dagangan dengan beberapa negara TPPA dan boleh merundingkan terma yang lebih baik menerusi perjanjian perdagangan dua hala dengan negara lain.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai