Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuan Ibrahim: PN bincang saranan PRN serentak di 6 negeri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PN akan membincangkan saranan pelbagai pihak agar Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan secara serentak di enam negeri terlibat, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dia berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Tertinggi PN untuk dibincangkan secara lebih mendalam.

"Secara peribadi saya sendiri tidak ada masalah sekiranya proses pengundian diadakan serentak di enam buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

"Saya sendiri akan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan segala keputusan akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Dasar Kelantanku Bersih, di Kota Bharu hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata pihaknya berharap pilihan raya bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.

Namun, Abdul Ghani berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membuat pembubaran bagi DUN negeri terlibat dan ia terpulang kepada kepimpinan negeri terbabit.

-Bernama