PM kata 'ada pihak' tak nak DAP Sarawak dalam kabinet - Chong
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendedahkan bahawa terdapat "pihak tertentu" yang meminta pemimpin parti di negeri itu dikecualikan daripada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Chong berkata perdana menteri telah menyampaikan perkara ini kepadanya semalam, sebelum siaran langsung Anwar mengumumkan lantikan timbalan menteri.
“Saya berterima kasih kepada perdana menteri yang menghubungi saya malam tadi sebelum pengumuman itu, menjelaskan situasi rumit landskap politik masa kini dan permintaan yang dibuat oleh sesetengah pihak agar ahli parlimen DAP Sarawak dikecualikan daripada jawatan (kabinet).
“Kami faham bahawa dalam keadaan sekarang, kepentingan negara dari segi kestabilan politik dan kerajaan yang stabil mengatasi semua kepentingan peribadi dan jawatan,” katanya.
Bagaimanapun, Chong menegaskan sokongan DAP terhadap Anwar sebagai perdana menteri adalah tanpa syarat - seperti yang dinyatakan Setiausaha Agung parti Anthony Loke minggu lepas.
“Kami menerima apa sahaja aturan yang dibuat oleh perdana menteri untuk kerajaan yang lebih stabil.
“Kami sangat percaya bahawa dengan Pakatan Harapan sebagai tulang belakang kerajaan sekarang - pentadbiran akan bergerak dari zaman korupsi dan kronisme dulu.
“Mereka yang telah terbiasa dengan cara lama pentadbiran BN perlu berubah untuk menjadi lebih bertanggungjawab,” tambah Chong.
Chong menggesa ahli dan penyokong parti supaya tidak kecewa dengan keadaan dialami oleh DAP Sarawak.
Dia berkata akan memastikan DAP negeri itu terus memainkan peranannya sebagai penyokong dengan berkesan dan menjadi suara untuk rakyat Sarawak.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan semak dan imbang yang diperlukan di parlimen dan memastikan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dipatuhi oleh kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai