Skip to main
Logo Malaysiakini

Mangsa banjir di empat negeri meningkat - Nadma

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mangsa banjir dari lapan daerah di empat negeri terus meningkat setakat jam 8 malam ini, maklum Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Seramai 922 mangsa daripada 268 keluarga ditempatkan di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Sebagai perbandingan, seramai 810 mangsa banjir daripada 225 keluarga direkodkan di empat negeri ini pada jam 4 petang tadi.

Daerah Hilir Perak dilanda banjir dengan 11 keluarga dipindahkan di 1 PPS manakala di Pahang 435 mangsa ditempatkan di 5 PPS melibatkan daerah Temerloh, Bera dan Lipis.

Menurut laman web rasmi InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), aras air Sungai Triang di Bera pula mencatatkan aliran menaik setakat jam 9 malam tadi dan telah melebihi tahap bahaya pada 34.78 meter.

Di Terengganu pula, banjir melanda daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu dengan tujuh PPS dibuka melibatkan pemindahan 313 mangsa daripada 86 keluarga.

Banjir di daerah Pasir Mas pula masih belum surut dengan 120 mangsa draipada 35 keluarga dipindahkan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (peringkat buruk dan waspada) melibatkan negeri Perak, Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa sehingga esok 11 Disember 2022.