Skip to main
Logo Malaysiakini

Keterlaluan tuduh kami promosi seks luar nikah - pakar perubatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mengkritik pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 dari sudut kesihatan awam tidak semestinya bermakna seseorang itu "muflis moral" dan di bawah pengaruh budaya Barat, kata pakar perubatan Dr Musa Nordin dan Dr Johari Bux.

Dr Musa ialah bendahari Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) manakala Johari pula bekas presiden dan pemegang amanah Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM).

Kedua pakar ini tidak bersetuju dengan hujah yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi dan Dr Murizah Mohd Zain, keduanya juga pakar ginekologi.

“Kami menghargai tazkirah rakan-rakan Islam kami untuk tidak mempermainkan naratif ‘muflis moral’ tamadun barat.

Masalah kehamilan remaja

“Tetapi trajektori moral mereka yang menunjukkan bahawa kami secara halus mempromosikan seks sebelum nikah, adalah tidak bertanggungjawab, keterlaluan dan menyinggung perasaan.

"Terdapat perbezaan antara falsafah pengurangan mudarat dalam campur tangan kesihatan awam dan tuduhan terang-terangan mereka dalam menggalakkan pergaulan bebas di kalangan generasi muda kita," kata Dr Musa dan Dr Johari pada satu kenyataan hari ini.

Mereka memetik kajian mengenai kehamilan remaja di Malaysia dari 2000-2014 yang mencatatkan 19,000 kelahiran setiap tahun antara 2009 dan 2011, dengan kebanyakan kelahiran itu akibat kehamilan luar nikah.

“Antara 2017 dan 2022, 41,083 kehamilan remaja direkodkan oleh Kementerian Kesihatan. Daripada kehamilan remaja ini, 4,561 kes (35 peratus) merupakan luar nikah,” kata Musa dan Johari lagi.

Mereka menegaskan bahawa ibu-ibu remaja mempunyai risiko yang untuk menghadapi masalah anemia ketika mengandung, pecah ketuban secara pramatang, tekanan darah tinggi disebabkan oleh kehamilan, jangkitan, pembedahan kecemasan cesarean, kemurungan selepas bersalin, berat badan bayi rendah, pramatang dan permulaan penyusuan yang tidak mencukupi.

“Selain itu, terdapat risiko sebenar kehamilan yang tidak diingini, tidak selamat, pengguguran haram, jangkitan seksual STI/HIV/AIDS, dan pembuangan bayi.

“Justeru, pelbagai kementerian dan agensi telah mula melaksanakan campur tangan dan program pencegahan yang dibuat dengan teliti mengenai pengalaman hidup dan kesihatan reproduktif untuk memaklumkan dan mewujudkan kesedaran yang lebih baik di kalangan remaja, keluarga dan masyarakat," katanya.

Tambahnya, perkara itu sememangnya sangat sensitif dan tabu, yang mesti dikendalikan dengan berhati-hati tetapi masyarakat tidak boleh menyembunyikan masalah sebenar daripada anak-anak dan kenyataan retorik seperti itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Hukum denda, penjara

Pada 1 Disember, Dewan Undangan Negeri Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 bagi memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di negeri itu termasuk penambahan empat seksyen baru antara lain.

Empat seksyen itu adalah Seksyen 3A (perbomohan dan sihir), 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah), 33A (wanita menyerupai lelaki) dan 36A (persediaan melakukan liwat).

Menurut Seksyen 29A, wanita beragama Islam yang didapati bersalah hamil atau melahirkan anak luar nikah boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam mempertahankan pindaan itu, Hatta dan Muzirah berkata pengkritik telah memisahkan undang-undang daripada moral, menggelarkannya realiti pasca kolonial.

[Baca berita asal]