Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir Pasir Mas: Mangsa meningkat 1,929 orang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seramai 2,756 mangsa banjir daripada 829 keluarga di tempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat awal malam ini.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat kemaskini terakhir sekitar jam 8 malam tadi memaklumkan negeri terbabit adalah Pahang, Terengganu, Perak, Kelantan dan Johor.

Sementara itu, mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,929 orang daripada 601 keluarga dan ditempatkan di tujuh PPS di daerah Pasir Mas.

Di Pahang, empat PPS dibuka di daerah Bera, Temerloh dan Pekan.

Seramai 457 mangsa daripada 132 keluarga ditempatkan di PPS Dewan SMK Seri Semantan di Temerloh, SK Kerayong dan SK Sri Buntar di Bera serta SK Sinar Mutiara, Sg Miang di Pekan.

Di Terengganu, seramai 202 mangsa banjir daripada 54 keluarga dipindahkan ke enam PPS di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

Di Perak, seramai 134 mangsa daripada 31 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) di Hilir Perak.

Sementara itu, Johor mula dilanda banjir semalam, merekodkan dengan 34 mangsa daripada sebelas keluarga ditempatkan di dua PPS, Balai Raya Kampung Kuala Paya dan Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat.