Skip to main
Logo Malaysiakini

Lima maut akibat protes di Peru

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala penunjuk perasaan mengambil alih sebuah lapangan terbang di Peru sejak 24 jam lalu susulan protes membantah penyingkiran bekas Presiden Pedro Castillo dan pelantikan Dina Boluarte sebagai presiden baharu negara itu.

Kematian dilaporkan di Arequipa, bandar kedua terbesar di Peru, ketika polis sedang memulihkan lapangan terbang yang dirampas oleh kira-kira 1,500 penunjuk perasaan.

Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di bandar Andahuaylas turut menyebabkan dua orang maut, ketika penunjuk perasaan cuba menyerbu lapangan terbang itu, lapor Agensi Anadolu.

Dua lagi kematian membabitkan seorang lelaki berusia sekitar 26 tahun dan seorang remaja berusia 16 tahun dilaporkan di Apurímac di selatan Peru.

Penunjuk perasaan bertindak menyekat jalan dengan menggunakan batu dan kayu balak serta membakar tayar, mengganggu lalu lintas di sepanjang Lebuhraya Pan-Amerika Selatan yang menghubungkan Peru dan Chile.

Meskipun Boluarte pada Isnin mencadangkan agar pilihan raya diadakan pada April 2024, kenyataannya gagal meredakan ketegangan yang semakin memuncak di negara Amerika Selatan itu sejak penyingkiran pemimpin berhaluan kiri Castillo.

Protes tercetus di beberapa bandar di negara itu menggesa pembebasan Castillo, yang ditangkap dan disingkirkan oleh penggubal undang-undang pada 7 Dis, hari yang sama selepas beliau cuba membubarkan Kongres Peru.

Penyokong Castillo menuntut Boluarte meletak jawatan dan menggesa pilihan raya baharu.

Boluarte telah mengisytiharkan darurat di kawasan-kawasan tertentu.

- Bernama