Skip to main
Logo Malaysiakini

'Beri saya masa dengar taklimat' - Saifuddin sanggah LFL

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail meminta para pengkritiknya supaya memberinya sedikit masa untuk mendengar taklimat daripada semua agensi di bawah kementeriannya sebelum mengambil sebarang langkah susulan.

Dia berkata demikian berikutan kenyataan NGO Lawyers for Liberty (LFL) semalam yang membidas jawapannya berhubung dakwaan layanan buruk terhadap tahanan di Depoh Tahanan Kimanis di Sabah.

"Saya hanya hari kelima masuk pejabat. Sangat tidak adil untuk mereka membuat judgment. Beri peluang untuk saya dengar semua taklimat. Itu respons saya pertama.

"Saya nak menyanggah pihak LFL, yang dia harus tengok rekod saya lepas. Jangan buat kesimpulan awal. Dia (LFL) sendiri pun tak pernah mohon nak jumpa saya, macam mana kata saya tak sedia terima pandangan.

"Sekarang ni sebagai menteri mulakan tugas, peringkat awal, tentulah munasabah untuk kami mendengar taklimat.

"Apakah mendengar taklimat bermaksud kami menerima sepenuhnya tanpa sebarang reservations? Tentulah kami ada aspek yang kami bagi pandangan, buat masa sekarang, kami dengar.

Menurut Saifuddin pihaknya kini berhubung dengan jabatan-jabatan berkaitan termasuk jabatan imigresen dan apabila tiba masanya, KDN akan memberi beberapa idea penambahbaikan.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media di Bukit Aman selepas melakukan kunjungan rasmi ke ibu pejabat polis di Bukit Aman hari ini.

Dalam kunjungan itu Saifuddin turut menerima taklimat daripada Ketua Polis Negara.

Semalam, LFL membidas Saifuddin kerana tidak mengarahkan siasatan berhubung keadaan tahanan di Depoh Tahanan Kimanis, sebaliknya mengatakan mereka berada dalam keadaan tidak sihat sebelum ditahan.

LFL juga menggesa Saifuddin supaya tidak menerima bulat-bulat taklimat oleh Jabatan Imigresen memandangkan jabatan itu adalah pihak yang berkepentingan yang secara jelas menafikan dakwaan penderaan atau layanan buruk di depoh tahanan.

Saifuddin sebelum ini mendakwa beberapa tahanan di depoh imigresen terbabit berada dalam keadaan tidak sihat, selepas diberi taklimat oleh Jabatan Imigresen.

Dia juga berkata adalah tidak adil untuk memainkan isu itu tanpa mengambil kira faktor luaran.

Dia mengulas laporan media berdasarkan klip video selama 90 saat yang disiarkan di Facebook di mana seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai tahanan di Pusat Tahanan Kimanis, merayu agar dirinya dan individu lain dibebaskan.

Lelaki itu dilaporkan berkata dia telah ditahan selama setahun.

Malah katanya ada individu yang ditahan selama dua atau tiga tahun, dengan makanan dan ubat yang disediakan tidak mencukupi, menyebabkan keadaan mereka menjadi kurus kering.