Kerajaan mahu selesai segera isu 5G - Fahmi
Semua pihak perlu menunggu keputusan Jemaah Menteri berhubung hala tuju pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB), demikian menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Katanya, kementeriannya dan Kementerian Kewangan telah membincangkan pelaksanaan projek tersebut dalam mesyuarat semalam dalam usaha mencari penyelesaian segera.
“Kita masih perlu selesaikan segera supaya rakyat, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menggunakan infrastruktur ini yang akan membantu melonjakkan aktiviti perniagaan industri atau kehidupan seharian,” katanya.dalam temu bual Bicara Naratif bertajuk ‘Membina Naratif Baharu’ terbitan Berita RTM di Angkasapuri, malam tadi.
Mengakui tidak dapat menyelesaikan dalam sekelip mata, namun Fahmi yakin isu 5G perlu diselesaikan segera sebelum melangkah ke era rangkaian 6G yang menurutnya masih awal bagi Malaysia.
DNB, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan untuk membangunkan teknologi 5G, komited mempercepat jadual melancarkan liputan 5G kepada 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2024.
Sementara itu, Fahmi. yang juga Ketua Penerangan PKR, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk mengutamakan penyelesaian terhadap masalah rakyat berbanding fokus terhadap jenama atau slogan baharu bagi setiap kementerian.
Katanya, perkara tersebut adalah berdasarkan kesedaran bahawa rakyat tidak lagi dahagakan barisan kepimpinan yang berfokuskan retorik semata-mata, malah mahukan kerajaan yang mampu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
“Orang tidak mahu dengar retorik dan slogan. Malah itu teguran perdana menteri, beliau kata janganlah kita ada jenama baharu. Kita fokus untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya.
Dalam program berdurasi satu jam itu, Fahmi juga memaklumkan akronim yang akan digunakan bagi Kementerian Komunikasi dan Digital kini adalah KKD.
Sebelum ini, kementerian tersebut dikenali sebagai K-KOMM iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai