Skip to main
Logo Malaysiakini

Selangor sumbang setengah juta kepada rumah ibadat Kristian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Selangor memberi sumbangan berjumlah sebanyak RM 593,460 kepada rumah ibadat beragama Kristian di negeri itu bersempena sambutan Krismas tahun ini.

Sumbangan ini turut diberi kepada badan pelaksana bahagian agama dalam Sistem Bantuan Kewangan Lima Agama (Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao) serta 55 NGO Kristian.

“Inisiatif ini merupakan antara usaha kerajaan negeri Selangor dalam menyantuni pelbagai agama dan kaum yang menetap di negeri Selangor, di samping meningkatkan kerencaman dan keharmonian antara kaum dan agama di negeri ini,” kata Tourism Selangor.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan memelihara keamanan rakyat bagi mengelakkan sebarang tindakan yang menggugat perpaduan.

“Sebarang tindakan yang boleh menggugat perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan perlu dielakkan sekiranya kita mahu melaksanakan agenda pembangunan dengan mampan bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi rakyat dan meningkatkan kemajuan khususnya di kawasan luar bandar,” kata menteri besar Selangor.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian pula berkata sambutan rumah terbuka di Selangor akan menjadi platform untuk mengetengahkan identiti dan kebudayaan kita. 

“Hal ini juga dapat menarik minat para pelancong untuk datang berkunjung ke negeri Selangor melalui kepelbagaian acara yang berkonsepkan pelancongan seperti ini,” jelasnya.