Skip to main
Logo Malaysiakini

Ikon Permotoran didakwa simpan gambar, video lucah bekas kekasih

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pencipta kandungan yang mempunyai sejuta pengikut dalam aplikasi TikTok, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dalam dua telefon bimbit.

Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, didakwa menyimpan gambar dan video lucah wanita berumur 21 tahun itu dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya di sebuah rumah di Rawang pada 4.30 petang, 9 Dis lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

Majistret Nur Hafizah Rajuni kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 23 Feb tahun depan.

Pada 10 Dis lalu, media melaporkan pemuda itu ditahan polis kerana disyaki mengugut untuk menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.