Skip to main
Logo Malaysiakini

Perubahan iklim akan marakkan krisis kemanusiaan pada 2023 - kajian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Perubahan iklim akan mempercepatkan krisis kemanusiaan di seluruh dunia pada 2023, sebagai tambahanh isu yang dicetuskan oleh konflik bersenjata dan kemelesetan ekonomi, menurut kajian oleh NGO Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC).

Agensi itu, yang berpangkalan di New York dan diketuai oleh bekas ahli politik UK David Miliband, menyatakan bilangan orang yang memerlukan bantuan kemanusiaan telah melonjak dalam dekad yang lalu, menghampiri 339.2 juta berbanding 81 juta pada 2014.

Perubahan iklim antara faktor utama yang mempercepatkan darurat kemanusiaan, kata IRC, walaupun pada hakikatnya 20 negara dalam senarai pemerhatian kecemasan - seperti Haiti dan Afghanistan - menyumbang hanya 2 peratus kepada pelepasan global gas CO2.

"2022 telah menunjukkan bahawa peranan perubahan iklim dalam mempercepatkan krisis kemanusiaan global tidak dapat dinafikan," kata laporan itu.

Gambar hiasan.

Ia menunjukkan tempoh hujan yang panjang, yang telah "membawa bencana ketidakjaminan makanan kepada Somalia dan Ethiopia," dan mengorbankan beribu-ribu orang di Pakistan.

IRC juga menyatakan keperluan untuk lebih "melabur secara proaktif dalam pencegahan dan mitigasi perubahan iklim."

Sementara itu, ketidakjaminan makanan sudah berleluasa berikutan konflik yang semakin meningkat serta krisis ekonomi yang dicetuskan oleh perang Rusia ke atas Ukraine dan wabak koronavirus, katanya.

Selain itu, jurang antara keperluan kemanusiaan dan pembiayaannya telah meningkat kepada defisit global sebanyak AS$27 bilion pada November 2022.

"Penderma gagal bertindak balas secara proporsional," kata laporan itu.

"Hasilnya ialah komuniti yang terjejas oleh krisis tidak dapat mengakses perkhidmatan yang mereka perlukan untuk terus hidup, pulih dan membina semula kehidupan," kata laporan itu lagi.

Kajian itu - bertajuk "Senarai Pemantauan Darurat 2023"- juga menekankan bahawa bilangan orang yang terpaksa meninggalkan rumah mereka telah meningkat kepada lebih 100 juta pada hari ini, meningkat daripada 60 juta pada 2014, dengan Venezuela antara penyumbang terbesar.

(Laporan oleh Diego Ore, penulisan oleh Isabel Woodford; Suntingan oleh Marguerita Choy)

- Reuters