Harga saham TNB susut
Harga saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) susut pagi ini berikutan berita mengenai potensi penstrukturan semula tarif elektrik pada separuh pertama 2023.
Pada 10.35 pagi, saham TNB merosot 0.64 peratus atau enam sen kepada RM9.28 dengan 211,400 saham diniagakan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan potensi kenaikan tarif elektrik terhadap syarikat multinasional yang mengeksport dan subsidi tidak harus diberikan kepada syarikat gergasi terpilih yang mencatatkan keuntungan tinggi.
Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan menaikkan tarif elektrik untuk pengguna domestik, industri kecil dan sederhana, syarikat pertanian dan sektor produk makanan berikutan ia akan membebankan rakyat Malaysia.
Dalam nota penyelidikan, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata berita itu adalah petunjuk positif berikutan ia menunjukkan kesediaan kerajaan untuk menstruktur semula subsidi, memastikan kemampanan jangka panjang dalam sektor tenaga dan mengurangkan komitmen tinggi kerajaan berhubung subsidi.
“Walaupun (berita itu) memberi impak neutral terhadap TNB, kami percaya langkah itu akan dilihat secara positif berhubung TNB dan sektor tenaga,” katanya.
Bank penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM11.65, berdasarkan pendapatan stabil dan pembayaran dividen kumpulan itu.
“Kami positif dengan komitmen jangka panjangnya terhadap trajektori pertumbuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) selain memastikan pulangan kepada pemegang saham,” menurut HLIB.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai