Skip to main
Logo Malaysiakini

S'gor digesa pertimbang semula rancangan pembangunan Genting

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Selangor digesa mempertimbangkan semula rancangan untuk membangunkan kawasan hutan di Genting, yang termasuk dalam sempadan negeri.

Ini selepas sekurang-kurangnya 15 maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di kawasan perkhemahan di Batang Kali, Selangor kira-kira 15km dari destinasi percutian popular Genting Highlands, di Pahang.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia, Damien Thanam berkata kerajaan Selangor mungkin mahu mencontohi kejayaan ekonomi jirannya di Pahang, tetapi ia boleh membawa kesan buruk.

Rancangan untuk membangunkan kawasan itu bagi tujuan pelancongan dan komersial didedahkan dalam pendengaran awam draf Rancangan Pembangunan Khas (RKK) Genting-Hulu Selangor pada Ogos.

"Menteri besar Selangor dan pengerusi majlis perbandaran Hulu Selangor mahu meniru kejayaan ekonomi pihak Bentong di Pahang, tetapi mereka tidak mengendahkan kerosakan alam sekitar yang dihadapi di Bentong," katanya merujuk kepada daerah Pahang di mana terletaknya Genting Highlands. .

"Analisis faedah kos untuk pembangunan di Hulu Selangor haruslah mendalam termasuk kerosakan alam sekitar yang akan berlaku sebagai tindak balas berantai kepada (pembangunan yang diperuntukkan dalam) Rancangan Kawasan Khas Genting-Hulu Selangor," katanya.

Dia menambah bahawa kawasan itu sebahagian besarnya masih berhutan dan tanah runtuh yang teruk pernah berlaku.

Katanya, ini kerana perubahan dalam pola cuaca dan hujan lebat telah memberi tekanan kepada cerun.

“Jika tanah runtuh boleh berlaku sekarang, bayangkan apabila lebih 200 hektar dibangunkan,” katanya.

Pada 15 Sept, Peka Malaysia mengemukakan bantahan terhadap rancangan itu, dengan menyatakan bahawa 220 hektar tanah tinggi berhutan perlu dilindungi untuk mengurangkan perubahan iklim.

Ia juga mencadangkan kerajaan Selangor membeli semua tanah milik persendirian di kawasan itu untuk menjadikan hutan itu sebagai hutan simpan kekal.

Rancangan Pembangunan Khas (RKK) Genting-Hulu Selangor meliputi kawasan seluas 808.97 hektar, termasuk taman negeri dan bahagian yang dianggap Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap I & II.

Selain pembangunan komersial, pelan itu termasuk strategi untuk mengurus pembangunan lereng bukit termasuk pemetaan kawasan berisiko tinggi dan melaksanakan dan menyelenggara sistem pemantauan.

Ia juga termasuk pelan tebatan seperti "kaedah penstabilan cerun mesra alam" dan "penyelesaian berasaskan alam sekitar" seperti menutup cerun dengan tanaman hijau.

Antara rancangan untuk membangunkan kawasan itu untuk pelancongan termasuk membina menara tinjau dan "Genting elevated link", laluan pejalan kaki bertingkat.