Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pekerja ladang di S’gor gesa k’jaan tarik balik notis pengusiran

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lebih 80 bekas pekerja ladang di Ulu Selangor, mukim Sungai Tinggi, Selangor menerima notis pengosongan daripada pihak pemaju.

Mereka yang terlibat merupakan keluarga dari lima buah ladang - ladang Sungai Tinggi, Mary, Nigel Gardner, Minyak dan Bukit Tahar - yang telah menetap di situ lebih daripada tiga generasi.

Menurut penyelaras komuniti pertubuhan perkhidmatan rakyat di situ, Jalaluddin Shahul Hamid, penduduk yang terlibat seramai 84 keluarga diberikan notis pengusiran dalam tempoh 14 hari, bermula 2 Disember.

Katanya, mereka bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) semalam telah menghantar notis kepada pihak berkenaan seperti pemaju, bekas majikan mereka, Kementerian Perumahan dan Kemajuan Tempatan dan Kementerian Sumber Manusia untuk menggesa agar notis pengusiran itu ditarik semula.

“Kami membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak pemaju melabelkan kami sebagai setinggan dan penceroboh seperti dalam notis.

“Padahal kami adalah bekas pekerja ladang. Ini adalah satu tindakan mengancam kejarmonian dan merupakan satu penghinaan kepada kami,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PSM di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, pada tahun 2016 surat telahpun diberikan kepada pihak pemaju mengenai status pekerja-pekerja ladang yang berumur 60 tahun di lima ladang tersebut berhubung permohonan perumahan alternatif.

Malah, dakwanya pihak pemaju ketika itu turut hadir di pejabat exco kerajaan Selangor ketika itu, V Ganabatirau, di mana pihak pemaju mencadangkan agar status bekas pekerja ladang di situ tidak ditukarkan sehingga isu perumahan tetap mereka diselesaikan.

“Kami merupakan bekas pekerja ladang yang bekerja dj ladang-ladang Sungai Tinggi Mary, Nigel Gardner, Minyak dan Bukit Tagar lebih tiga generasi dan kami diberi janji oleh bekas majikan kami, untuk membina rumah alternatif bagi kami, selain itu juga ada ‘Aku Janji’ dan dokumen lain,” katanya.

Timbalan pengerusi PSM S Arutchelvan meminta supaya kerajaan bertindak cepat untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Mereka (kerajaan) hanya perlu menghubungi pemaju dan meminta mereka untuk tolong hentikan pengusiran dan letakkan bajet (untuk pembinaan rumah mereka),” katanya.

Difahamkan, pembinaan rumah untuk 245 keluarga di kelima-lima ladang itu masih belim dapat dibina, meskipun tapak tanah telah disediakan oleh bekas majikan mereka kerana kerajaan sebelum ini memberitahu bahawa peruntukan dana tidak mencukupi untuk membina perumahan itu.

Arutchelvan memberitahu bahawa faktor utamanya kerana peruntukan tersebut telah didahulukan untuk kegunaan sewaktu pandemik Covid-19, walaupun ia telah berada dalam peruntukan bajet sebelum ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons dari pihak KPKT dan pemaju berhubung dakwaan ini.