Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanah runtuh: Bantuan RM10,000 pada keluarga mangsa terkorban

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan permulaan segera sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali.

Anwar berkata Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 pula akan diberikan kepada ketua isi rumah bagi mangsa yang tidak melibatkan kematian.

Perdana menteri berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menyalurkan peruntukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor.

“SUK Selangor akan menyalurkan terus bantuan berkenaan kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan mendengar taklimat berhubung insiden itu malam tadi.

Setakat 7.10 malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia manakala 12 lagi masih hilang.

Anwar juga berkata pemimpin negara luar turut menzahirkan rasa simpati termasuk Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

“Saya juga ingin mengulangi rasa sedih dan dukacita terhadap keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini,” katanya.

Dia turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat serta pengorbanan semua petugas yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat walaupun dalam keadaan berisiko tinggi.

“Dalam menyempurnakan tugas ini, risiko keselamatan mereka juga turut ada terutama dengan cuaca tidak menentu dan hujan,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat sekiranya terdapat kesilapan manusia yang menyebabkan insiden itu, Anwar berkata dia akan menunggu laporan awal terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu mendahului laporan mereka, biar kita tunggu sekejap, perhatikan laporan dan ambil tindakan sebaik kita dapat teliti semua laporan,” katanya.

-Bernama