Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanah runtuh: Satu lagi mayat ditemui, jumlah korban kini 24

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setakat jam 5 petang, pihak berkuasa telah menemui dua lagi mayat dari tapak tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Selangor - menjadikan jumlah kematian kepada 24.

Menurut kemas kini terkini oleh Polis Diraja Malaysia, mayat berkenaan merupakan seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.

Terdahulu, pihak polis memaklumkan setakat 1.40 tengah hari mayat seorang perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki ditemukan.

Dengan penemuan terbaru, jumlah kematian kini termasuk lima kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan, empat lelaki dan 13 perempuan dewasa.

Lima puluh empat daripada 94 individu di lokasi ditemui selamat, termasuk tujuh yang dilaporkan cedera manakala sembilan lagi masih hilang.

Kesemua mayat yang ditemui akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan pengecaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Suffian Abdullah memaklumkan pengurus tapak perkhemahan Father's Organic Farm akan dipanggil untuk membantu siasatan terhadap tragedi yang berlaku.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata bahawa operasi SAR hari ini akan tertumpu di kawasan Farmview dan Riverside tapak perkhemahan.

Norazam Khamis

Katanya, operasi akan melibatkan penggunaan empat jengkaut bagi mengalihkan tanah dan pokok besar, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca dan tanah.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika melawat ke lokasi kejadian mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban, sementara keluarga mangsa yang tidak melibatkan kematian akan menerima bantuan RM1,000.

Antara pemimpin lain yang turut melawat semalam termasuk Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Sehingga semalam, tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi air di Batang Kali itu diarah tutup sehingga diberitahu kelak.

Jabatan Perhutanan di beberapa negeri, seperti Pahang dan Johor juga mengeluarkan membuat arahan sama - termasuk penutupan laluan mendaki dan memandu di luar jalan.