Skip to main
Logo Malaysiakini

Amaran hujan berterusan di 8 negeri sampai Selasa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di lapan negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor, yang dijangka berlaku hingga Selasa, 20 Disember ini.

Di Terengganu, amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan sampai Selasa.

Amaran hujan berterusan (bahaya) dikeluarkan MetMalaysia apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, hujan lebat berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di negeri Kelantan dan Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Jerantut sehingga Selasa.

"Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh 6 jam," kata badan kaji cuaca itu.

Dalam perkembangan berkaitan, hujan berterusan (tahap waspada) dijangka berlaku hingga Selasa di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar).

Selain itu, Pahang juga turut terjejas melibatkan daerah Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin manakala di Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) sehingga Selasa, 20 Disember 2022.

"Amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan," kata MetMalaysia lagi.