Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanah runtuh: Operasi mencari 9 lagi mangsa diteruskan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa yang belum ditemukan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, diteruskan hari ini.

Operasi disambung sembilan pagi selepas ditamatkan pada empat pagi tadi, melibatkan sejumlah anggota penyelamat daripada pelbagai agensi selain menggunakan khidmat anjing pengesan serta jentera berat untuk mencari mangsa tertimbus.

Kawasan pencarian pula dipercayai masih ditumpukan di ketiga-tiga sektor iaitu sektor A (kem Hillview), sektor B (kem Farmview) dan sektor C (berhampiran kem Riverside).

Keadaan cuaca hari ini cerah dengan pengamal media dari pelbagai agensi turut mula berkampung sejak tujuh pagi di lokasi kejadian.

Setakat petang semalam, seramai 24 mangsa telah disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi itu, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah menimpa tapak perkhemahan itu, di Jalan Genting-Batang Kali di situ.

-Bernama