Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengusaha tapak perkhemahan, 2 pekerja dipanggil bantu siasatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis telah memanggil pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dan dua pekerjanya bagi membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh yang setakat ini telah mengorbankan 24 nyawa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata lelaki tempatan berusia 50-an dan dua pekerja lelaki berusia lingkungan 30-an itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor petang semalam.

“Kemungkinan (pada masa akan datang) kita akan memanggil lagi pihak-pihak yang terlibat untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis di lokasi kejadian di Batang Kali hari ini.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tapak perkhemahan berkenaan diusahakan tanpa lesen kebenaran beroperasi daripada Majlis Daerah Hulu Selangor.

Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah menimpa tapak perkhemahan itu, di Jalan Genting-Batang Kali di situ.

Dalam pada itu, Suffian berkata 15 mayat mangsa tragedi iaitu dua lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan telah diserahkan kepada keluarga mereka semalam.

Katanya sembilan lagi mayat masih berada di Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan tuntutan oleh waris.

“Kita memohon waris dan keluarga terlibat, rakan-rakan (yang) tahu tentang maklumat ini supaya pergi ke Hospital Sungai Buloh untuk membuat pengecaman bagi memudahkan urusan pengembalian mayat kepada keluarga,” katanya.

Dia berkata pihaknya mempunyai pasukan khas di hospital bagi membantu menguruskan aspek dokumentasi dan urusan penyerahan mayat kepada keluarga mangsa terlibat.

Operasi mencari dan menyelamat hari ini memasuki hari ketiga dan setakat semalam, sembilan masih hilang dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.

-Bernama