Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan akan tambah, import pam kuasa tinggi tangani banjir termenung

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan akan menambah dan mengimport pam-pam berkuasa tinggi sebagai langkah penyelesaian masalah banjir termenung di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah tersebut bagaimanapun perlu mengikut tatacara pembelian ditetapkan.

“Saya akan lakukan koordinasi dengan ketua pengarah Jabatan Pengaliran Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) untuk lihat segera bagaimana pam berkuasa tinggi dapat ditempatkan segera di seluruh negara.

“Saya akan teliti pam-pam kuasa tinggi ini yang sedia ada, jika perlu diimport segera, saya harap dapat JPS, Nadma dan APM kemukakan cadangan ikut tatacara pembelian,” kata ahli parlimen Bagan Datuk itu selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk, Perak hari ini.

Dia berkata selain itu, antara langkah penyelesaian segera juga adalah dengan memindahkan pam-pam sedia ada ke kawasan banjir termenung.

Mengulas mengenai langkah penyelesaian masalah banjir di Bagan Datuk, Ahmad Zahid berkata sembilan lokasi pam di daerah itu akan dibina dan dipasang segera seperti yang dicadangkan Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah.

“Maka peruntukan segera diperlukan dari Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri bagi penyelesaian dengan pembukaan tender mengikut spesifikasi kualiti pam yang diperlukan di sembilan lokasi ini.

“Dicadangkan pam kuasa tinggi untuk pam air di parit kiri dan kanan jalan, agar kawasan digenangi air dapat didalamkan dan dikorek,” katanya.

Berhubung penyelesaian jangka panjang masalah banjir di daerah tersebut, Ahmad Zahid berkata projek tebatan banjir kekal berjumlah RM80 juta akan dilaksanakan di kawasan itu yang dijangka disiap dalam tempoh tiga tahun.

Ditanya mengenai penempatan mangsa banjir jika situasi berterusan hingga tahun depan dan menjejaskan dewan sekolah, dia berkata kerajaan akan mencari lokasi lain yang difikirkan bersesuaian termasuk dewan orang ramai atau masjid.

Setakat lapan pagi ini, terdapat dua PPS menempatkan 44 mangsa daripada 13 keluarga di Perak membabitkan Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (Smart) Batu 4 dan Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat.

-Bernama