Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO dakwa ada mohon kebenaran polis himpunan tuntutan bersasar KWSP 2.0

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

NGO Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR) berkata pihaknya ada memohon kebenaran polis untuk mengadakan himpunan tuntutan pengeluaran bersasar KWSP pada 7.30 pagi, Isnin 19 Dis ini di pintu masuk parlimen.

Ini selepas polis menafikan memberi sebarang persetujuan atau kebenaran bagi perhimpunan terbabit.

“Surat Pemberitahuan ini telah dihantar, dipinda dan diterima mengikut garis panduan dan format yang diberikan oleh Jabatan Perlesenan IPD Dang Wangi.

“Timbalan Presiden PGIR juga telah dipanggil oleh pihak IPD Dang Wangi pada 14 Disember 2022 untuk sesi penjelasan lebih terperinci berkenaan solidariti pada 19 Disember 2022 berkenaan perjalanan aktiviti dan sebagainya.

“Penjelasan telah diambil maklum oleh pihak IPD Dang Wangi dan tiada bantahan setakat itu,” jelasnya pada satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Tatatertib PGIR, Putri Fira Mokhtar berkata pihaknya telah menghantar surat pemberitahuan bertarikh 8 Disember lalu.

“Cuma silap dia (polis) tak sebut berkenaan dengan surat kebenaran bersolidariti di depan parlimen tu,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, himpunan itu akan disertai sekitar 40 orang yang melibatkan ahli PGIR serta pencarum KWSP.

Menurutnya, NGO itu akan menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen dengan menuntut supaya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar kepada beberapa golongan.

Dia berkata antaranya suri rumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak aktif lagi mencarum; bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja, berhenti secara sukarela, baru berhenti dan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta sukar untuk mendapat pekerjaan disebabkan faktor usia dan kesihatan.

Selain itu, NGO itu juga menuntut pengeluaran bersasar diberikan kepada pencarum yang masih aktif mencarum berusia 54 tahun dan ke bawah yang mempunyai simpanan dalam akaun 1 melebihi RM 20 Ribu, serta pencarum yang masih aktif mencarum yang mempunyai baki simpanan di akaun 1 RM 19,999.99 dan ke bawah.

Terdahulu, polis menjelaskan bahawa pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang permohonan bagi mengadakan apa-apa perhimpunan solidariti seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang selain meminta mereka sentiasa merujuk sumber rasmi untuk mendapatkan maklumat sahih.