Skip to main
Logo Malaysiakini

Abim gesa parlimen bahas usul banjir K'tan, T'ganu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa sidang parlimen akan datang untuk membahaskan keadaan banjir yang semakin membimbangkan di Kelantan dan Terengganu.

Ini selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat berterusan di beberapa negeri, termasuk dua negeri tersebut.

Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz mencadangkan selain undi percaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim, usul tergempar berkaitan banjir perlu dibentangkan semasa sidang parlimen pada 19 dan 20 Dis ini.

Dia memetik Peraturan 18 Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan dengan membaca teks usul yang diluluskan speaker parlimen.

"Perbahasan turut meliputi kesiapsiagaan jentera kerajaan mendepani banjir, serta penyelarasan bantuan dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir, dan lebih utama perancangan dalam menangani impak perubahan iklim," kata presiden pertubuhan itu pada kenyataan hari ini.

Abim selanjutnya menggesa semua pihak khususnya ahli politik untuk mengenepikan kepentingan politik kepartian, sebaliknya bersama-sama membantu menstabilkan situasi politik semasa serta memberi fokus membantu meringankan bebanan rakyat.

Semalam, Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) turut mengeluarkan amaran banjir untuk enam daerah di Terengganu dan lapan daerah di Kelantan berdasarkan simulasi model ramalan banjir mereka.

Banjir di Kelantan dijangka sehingga esok (19 Dis) tengah hari, manakala daerah yang dinaiki air di Terengganu dijangka berlarutan sehingga Selasa (20 Dis).