Skip to main
Logo Malaysiakini

Sosma 33: Peguam tuduh polis bohong pada mahkamah mengenai tangkapan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua peguam yang mewakili tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) menuduh dua pegawai polis berbohong kepada mahkamah atas penahanan anak guam mereka.

Tiga puluh tiga tahanan Sosma - yang ditahan pada Sept 2020 - kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Sungai Petani atas pertuduhan mengikut Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Semasa perbicaraan hari ini, peguam Burhanudeen Abdul Wahid - yang mewakili G Ramesh dan V Mahendrakumar - menuduh pegawai polis Norashikin Sharani berbohong dalam laporan tangkapannya dan kepada mahkamah mengenai penahanan dua suspek itu.

Norashikin, yang sebelum ini bertugas di ibu pejabat polis daerah Kuala Muda, berkata dalam laporannya dan memberi keterangan mahkamah bahawa dia telah membuat tangkapan ke atas Ramesh dan Mahendrakumar.

Keluarga tahanan berkumpul di mahkamah.

Bagaimanapun, Burhanudeen mendakwa kedua-duanya sudah berada dalam tahanan apabila diserahkan kepada Norashikin oleh dua inspektor polis yang membuat tangkapan awal.

Norashikin tidak bersetuju dengan tanggapan ini dan menegaskan bahawa dia telah membuat dua tangkapan berasingan.

Peguam itu kemudian mendakwa bahawa pegawai tersebut mempunyai niat untuk berbohong dengan tidak menyebut dua inspektor dalam laporan dan keterangan mahkamahnya.

Pada ketika ini, timbalan pendakwa raya Saifuddin Rafiee kemudian campur tangan dan berkata tidak perlu menyebut butiran sedemikian dalam Laporan Polis Maklumat Pertama (FIR).

Berapa kali ditangkap?

Burhanudeen, bagaimanapun, menjelaskan bahawa ia bukan FIR tetapi laporan tangkapan dan nama dua inspektor itu didakwanya telah menangkap Ramesh dan Mahendrakumar.

Secara berasingan, peguam Teh See Khoon - yang mewakili K Muthusamy - menuduh inspektor polis Faiz Osman berbohong tentang jumlah tangkapan terhadap anak guamnya.

Faiz telah memberi keterangan bahawa dia hanya menangkap Muthusamy sekali sahaja.

Bagaimanapun, Teh berkata Faiz telah menangkap anak guamnya terlebih dahulu pada 25 Sept 2020 - tetapi Muthusamy dibebaskan oleh pegawai penyiasat.

Ini, dakwanya, menyebabkan Faiz menangkap Muthusamy buat kali kedua.

Teh juga memberitahu mahkamah Muthusamy pada mulanya ditangkap atas tuduhan dadah dan bukan di bawah Sosma.

Ramesh, Mahendrakumar dan Muthusamy adalah antara tiga puluh tiga yang telah menghabiskan 28 bulan terakhir di penjara selepas ditangkap di bawah Sosma.

Di bawah Sosma, polis dibenarkan menahan suspek tanpa bicara selama 28 hari dan selepas itu mereka mesti dibebaskan atau didakwa.

Walaupun kumpulan itu didakwa di bawah Kanun Keseksaan, mereka telah menghabiskan dua tahun terakhir menunggu tarikh perbicaraan.

Perbicaraan kes di hadapan hakim Chan Jit Li, hanya bermula hari ini.

Isteri kepada 33 lelaki itu antara yang berkumpul di mahkamah hari ini dan hanya bersurai selepas lelaki itu dibawa semula ke Alor Star pada jam 6 petang.

Perbicaraan bersambung esok.

[Baca berita asal]