Skip to main
Logo Malaysiakini

Kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di Pasir Mas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tiga bulan ditemukan lemas di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, di Pasir Mas, kira-kira 1 tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Shapawi Stapa berkata mangsa dikatakan bermain di anjung rumah bersama kakaknya sebelum hilang di kawasan rumahnya yang sedang dilanda banjir.

"Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu tengah hari tadi dan jentera digegaskan ke lokasi kejadian pada 1.04 tengah hari untuk operasi menyelamat.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa sudah dijumpai penduduk kampung dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (gambar, atas) berkata mangsa iaitu Muhamad Putra Zahfran Mohamed Iswandiee, merupakan korban pertama banjir di negeri itu.

"Bapa saudara kanak-kanak itu yang menyedari kehilangan mangsa telah keluar dari rumah dan mengocak air di sekitar rumah sebelum menemukan mayat mangsa timbul dan terapung di permukaan air," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi banjir di Kelantan, Muhamad Zaki berkata pihaknya telah mengatur gerak operasi di semua jajahan dan menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap paras air.

- Bernama