Skip to main
Logo Malaysiakini

Sosma 33: Mahkamah akan putuskan jika pegawai penyiasat boleh beri keterangan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam bela dalam kes Sosma membabitkan 33 tahanan hari ini membantah keterangan pegawai penyiasat polis kerana butiran dalam laporan yang tidak relevan dengan perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi di Sungai Petani, Kedah.

Mereka berhujah bahawa butiran laporan oleh inspektor Theodore Peter Dien, pegawai kanan penyiasat narkotik dari ibu pejabat polis negeri, adalah sama seperti kes dadah yang belum selesai di Mahkamah Tinggi di Alor Setar.

Hakim Chan Jit Li mengarahkan peguam memfailkan penghujahan bersama mengenai bantahan mereka dalam masa dua minggu dan dia akan memutuskan pada 6 Feb tahun depan sama ada membenarkan atau tidak untuk pegawai itu memberi keterangan di mahkamah.

Seramai 33 tahanan itu ditahan antara 20 Sept dan 26 Sept 2020 dan kemudian didakwa mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang - pertuduhan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Peguam Burhanudeen Abdul Wahid berkata pertuduhan dadah itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 13 Julai tahun depan.

Rafeal Abdullah Prabakaran yang mewakili salah seorang tertuduh berkata, pegawai penyiasat boleh menyebut tertuduh terlibat dalam pertuduhan dadah, tetapi mendedahkan butiran lain mengenai pertuduhan dadah di mahkamah ini adalah tidak relevan.

Peguam berhujah bahawa semua anak guam mereka yang ditahan di bawah Sosma juga menghadapi pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tahanan Sosma yang diberkas pada September 2020 kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sungai Petani atas pertuduhan mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Rasa tak senang atas kelewatan

Semasa perbicaraan hari ini, Burhanudeen menuduh pegawai polis Norashikin Sharani berbohong dalam laporannya dan kepada mahkamah mengenai penangkapan dua tahanan.

Mahkamah menetapkan 19 dan 20 April serta 17, 24 dan 25 Mei tahun depan untuk perbicaraan.

Para isteri tahanan telah menyatakan rasa tidak senang kepada peguam mereka berhubung tarikh baru dan kelewatan kes.

Mereka berkata sudah 28 bulan penahanan tetapi perbicaraan mahkamah hanya berjalan selama beberapa hari saja.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada timbalan pendakwa raya Mohd Sabri Othman, Nur Ainaa Ridzwan, Shamsiah Maibon dan Saifuddin Rafiee.

Selain Burhanudeen dan Rafeal, peguam bela lain yang terlibat ialah RSN Rayer, C Shanmugiah dan K Kumarendran.

Rayer, yang bertindak bagi 18 tahanan, berkata dia telah membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mempertimbangkan pertuduhan alternatif Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya. .

Ini selepas 10 bekas ahli Geng Kabali dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menjadi ahli pertubuhan haram, di Seremban pada minggu lalu. Mereka telah ditahan reman sejak 2019.

[Baca berita penuh]