ULASAN | MOU parti kerajaan tak langgar undang-undang
ULASAN | Semalam usul mengabsahkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia telah mendapat sokongan dua per tiga anggota Dewan Rakyat.
Usul tersebut dibuat bagi menghilangkan segala keraguan terhadap kesahihan Anwar sebagai perdana menteri memandangkan sebelum ini PN ada membuat dakwaan kononnya mereka mendapat majoriti.
Kini sudah ternyata dakwaan PN - yang dibuat melalui pemimpin utamanya, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang - adalah tidak berasas dan cuma permainan politik terdesak mereka.
Sebelum usul undi percaya tersebut dibuat, satu perjanjian persefahaman (MOU) ditandatangani antara lima gabungan parti yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Antara lain ia memperuntukkan kewajipan ahli untuk menyokong undi percaya tersebut.
MOU berkenaan dicabar oleh Pemuda PN sebagai melanggar undang-undang Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan (kononnya memudaratkan amalan demokrasi) dan Seksyen 24 Akta Kontrak (atas dakwaan objek MOU itu bercangah dengan undang-undang atau melanggar polisi awam).
Antara lain MOU itu juga memperuntukkan setiap parti komponen kerajaan perpaduan menyokong usul undi percaya terhadap PM. Ia secara tidak langsung dapat menghalang perbuatan mana-mana ahli parlimen mengundi berlawanan dengan keputusan parti.
Ia adalah demi mempertahankan semangat undang-undang antilompat parti.
Jika perbuatan mengundi mengikut kehendak sendiri dibenarkan, ia sama sekali melanggar undang-undang antilompat parti.
Memandangkan undang-undang antilompat parti terkandung dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, maka undang-undang tersebut adalah sah dan berperlembagaan.
Justeru MOU ditandatangani baru-baru ini memang tidak bertentangan dengan amalan demokrasi berparlimen. Oleh itu Seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan tidak terpakai.
Lagipun, MOU tersebut dibuat dengan persetujuan dan tanpa paksa. Maka dakwaan Pemuda PN yang mengatakan MOU dibuat bagi memaksa ahli parlimen mengundi menyokong usul undi percaya kepada Anwar adalah tidak berasas.
Memandangkan undang-undang antilompat parti adalah sah di sisi undang-undang, maka tiada juga pelanggaran Seksyen 24 Akta Kontrak kerana objeknya tidak melanggar polisi awam atas alasan MOU berkenaan dibenarkan undang-undang (undang-undang antilompat parti).
MOU dan usul undi percaya adalah penting bagi menjamin kestabilan politik yang menjadi persoalan pokok dalam pentadbiran negara sejak Langkah Sheraton dibuat PN.
Kestabilan politik sangat penting untuk memastikan pemulihan ekonomi dapat dibuat terutama membina semula keyakinan pelabur asing.
Langkah Sheraton telah menyebabkan kemorosotan ekonomi kepada negara sehingga nilai ringgit jatuh teruk yang memberi kesan besar kepada poket dan perut rakyat.
Pada masa sama masalah pekerjaan dan gaji adil masih menghantui golongan muda dan ia perlukan kepada penyelesaian segera.
Maka, kestabilan politik adalah kunci kepada langkah pemulihan ini.
Justeru, MOU dan usul undi percaya semalam adalah penting untuk meletakkan hala tuju pentadbiran negara berada pada landasan yang betul.
Kompas politik dan pentadbiran negara perlu jitu dan tepat supaya pentadbiran negara dapat berjalan dengan baik lagi tuntas.
MOU dan usul undi percaya itu penting bagi menunjukkan sokongan penuh parti-parti komponen kerajaan perpaduan terhadap kepimpinan Anwar dan agenda reformasi yang diperjuangkan Pakatan Harapan.
FAIZ FADZIL ialah anggota Jawatankuasa Nasional Amanah Malaysia dan Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai