Mana datang ancaman terhadap Melayu, Islam di Malaysia?
ULASAN l Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semalam untuk kita tidak bertoleransi dengan cubaan untuk menghasut perasaan syak wasangka dan kebencian di antara kaum dan agama yang berpotensi untuk mencetuskan perbalahan di Perak sepatutnya menjadi salah satu dasar negara.
Saya menyeru Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk tidak bertoleransi terhadap hasutan perkauman dan keagamaan dalam masyarakat majmuk di Malaysia kerana perkara ini berpotensi untuk memusnahkan negara kita.
Pendirian sifar toleransi terhadap politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan ini perlulah dapat dilihat dengan jelas dari hari-hari awal kerajaan Anwar, dengan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang mengeksploitasi perbezaan perkauman dan keagamaan di Malaysia.
Selama 57 tahun saya berkecimpung dalam politik, saya telah bergerak dan melawat lebih banyak kawasan-kawasan di Malaysia berbanding dengan kebanyakan rakyat Malaysia, dan saya boleh katakan dengan yakin, yang tidak ada sentimen anti Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, atau anti Islam, Buddha, Hindu, Kristian di kalangan rakyat, tetapi sesetengah parti dan personaliti politik cuba untuk meracuni minda rakyat yang kononnya orang Melayu dan Islam kini sedang terancam.
Perbuatan berbahaya ini telah mencapai satu tahap yang belum dilihat sebelum ini dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.
Dari manakah ancaman terhadap orang Melayu dan Islam datang?
Selama 57 tahun saya berkhidmat untuk rakyat, saya tidak pernah menuduh sesiapa pun sebagai anti Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, atau anti Islam, Buddha, Hindu atau Kristian, tetapi saya tetap dituduh sebagai seorang rasis, seorang yang kononnya anti Melayu dan Islam, kononnya seorang komunis, dan baru-baru ini pula kononnya saya Islamofobik, tanpa secebis bukti sekalipun.
Atas sebab inilah, dengan peningkatan ucapan kebencian yang menghasut perasaan syak wasangka di media sosial selepas Pilihan Raya Umum ke-15, saya mengalu-alukan acara yang dianjurkan baru-baru ini di mana kira-kira 100 kumpulan etnik dan agama berkumpul dalam satu majlis makan malam Krismas, yang telah dihadiri oleh lebih ramai orang Islam berbanding dengan Kristian.
Lebih banyak acara-acara sebegini patut diadakan untuk membolehkan rakyat Malaysia lebih memahami pelbagai agama yang ada di dalam negara ini.
Seperti yang dicita-citakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Malaysia sepatutnya menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”, dan satu aspek di mana Malaysia boleh menjadi “sinar cahaya” ini adalah untuk menjadi negara contoh yang terdapatnya keamanan, keharmonian, toleransi, dan penerima di antara masyarakat pelbagai agama yang berada di Malaysia.
Mungkin masanya telah tiba untuk kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa dengan tanggungjawab khas untuk mempromosikan pemahaman dan keharmonian di antara agama dan untuk menegakkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan Islam sebagai agama rasmi dengan agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan harmoni.
Juga, perlu ada satu bahagian khas dalam badan polis untuk menguruskan masalah ucapan kebencian yang menghasut ke arah kebencian dan syak wasangka dalam pelbagai kumpulan kaum dan agama, terutamanya di media sosial.
LIM KIT SIANG ialah pemimpin veteran DAP.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai