Skip to main
Logo Malaysiakini

Mangsa ke-26 ditemui berpelukan dengan anjing

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mayat seorang lelaki dewasa ditemui di  tapak perkhemahan Father's Organic Farm Gohtong Jaya  oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 26 orang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata mayat lelaki itu ditemui sekitar 11.16 pagi hari ini dan  sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada  jam 11.56 pagi tadi.

Pasukan SAR kini sedang giat diteruskan bagi mencari baki tujuh lagi mangsa yang hilang.

Bencana runtuhan cerun di tapak perkhemahan itu bermula pada 2.42 pagi Jumaat lalu. 

Ia  setakat ini menyaksikan 61 mangsa berjaya diselamatkan,  26 nyawa terkorban dan tujuh lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.

Perincian mangsa meninggal dunia ialah 13 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa serta tiga kanak-kanak perempuan.

Semalam pasukan SAR menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada 11.15 malam sebelum operasi ditangguhkan pada 12 tengah malam.

Kanak-kanak itu dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu.

Penemuan mangsa yang juga mayat ke-26 hari ini adalah juga di tempat sama mayat kanak-kanak itu ditemui.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan pasukan SAR akan membuat penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa di kawasan kejadian.

Ini selepas mengambil kira penemuan mangsa ke-25 semalam yang dijumpai pada kedalaman ‘luar jangkaan’ iaitu kira-kira 17 meter di sektor C (Riverside).

Dalam perkembagngan berkaitan, Bernama memetik Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor sebagai berkata mangsa ditemukan pada kedalaman kira-kira satu setengah meter dalam keadaan berpelukan bersama seekor anjing di sektor berkenaan.

Pasukan penyelamat turut menemukan seekor lagi anjing berhampiran kawasan itu. 

“Kemungkinan besar dia (mangsa) berkhemah di sektor A (Hillview), dibawa oleh tanah runtuh itu pergi ke sektor B (Farmview).

“Maknanya kawasan Sektor B ini saya percaya semua mangsa sudah tiada di situ, jadi kita akan tumpu kepada sektor C dan A, “ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Dua ekor anjing (bangkai) ditemukan bersama mayat berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut," katanya.