Skip to main
Logo Malaysiakini

MPHS akui tiada lesen khusus untuk perkhemahan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengesahkan tiada lesen khusus bagi kegiatan perkhemahan di negeri itu.

Sebaliknya, kata pihak berkuasa tempatan itu, ia tertakluk kepada permohonan lesen pusat rekreasi persendirian dengan mengambil kira syarat semasa kebenaran merancang diluluskan. 

“Aktiviti perkhemahan merupakan suatu aktiviti rekreasi luar yang mana ia merupakan aktiviti sampingan yang dijalankan oleh pemilik hotel/resort,” kata MPHS.

“Bagi tujuan perlesenan sebagaimana dalam Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007, majlis boleh mempertimbangkan sesuatu permohonan ‘aktiviti perkhemahan’ tertakluk kepada permohonan lesen pusat rekreasi persendirian tetapi ia perlu melihat kepada syarat yang diberikan semasa kelulusan kebenaran merancang.” 

Operasi mencari dan menyelamat di tapak kejadian

Semalam, pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor yang dilanda tanah runtuh berkata mereka tidak memohon lesen tapak perkhemahan kerana ia tidak wujud.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tapak perkhemahan itu beroperasi tanpa lesen daripada MDHS.

Tragedi tanah runtuh di Batang Kali itu menjejaskan hampir 100 mangsa dengan 26 korban nyawa dengan tujuh lagi masih hilang.

Sementara itu, MPHS juga berkata dasar khusus dan jelas perlu diwujudkan bagi memastikan aktiviti tersebut dijalankan secara sah dan mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP).

Katanya, aktiviti perkhemahan semakin mendapat tempat dan berpotensi menarik pelancong bagi menghayati keindahan alam semula jadi.