Syarikat kurier henti operasi, pekerja tuntut gaji tertunggak
Ratusan pekerja Nationwide Express mungkin kehilangan kerja menjelang tahun baru ekoran keputusan syarikat itu untuk menghentikan operasi di Malaysia.
Menurut mereka, kira-kira 680 pekerja dibiarkan terkapai-kapai selepas pemberhentian yang dibuat syarikat. Pemberhentian dibuat secara berperingkat, bermula esok sehingga 24 Januari.
Ada pekerja yang berkata mereka telah bekerja di syarikat itu selama hampir tiga dekad dengan gaji yang masih tertunggak.
Hari ini, 67 pekerja Nationwide di Selangor berhimpun di depan pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi menuntut tunggakan gaji mereka dibayar.
Antaranya Mohd Hezri Rosli, 42, yang telah bekerja dengan syarikat itu selama 13 tahun. Dia berkata menerima notis penamatan kontrak pada 1 Disember lalu, an berkuat kuasa 24 Januari ini.
Dia bekerja sebagai pemandu dan mendakwa syarikat tidak membayar gajinya secara penuh selama hampir setahun.
"Tidak adil syarikat berhentikan kami begitu saja, terutama apabila mereka belum bayar gaji kami dan ini termasuk elaun, KWSP dan Perkeso.
"Mustahil untuk kami semua dapat cari kerja baru dengan segera dan secara umumnya pendapatan kami tak banyak," katanya kepada pemberita.
Bapa kepada dua anak yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan itu berkata lagi, sepanjang bekerja, dia perlu berulang-alik dari rumah ke ibu pejabat syarikat di Shah Alam, Selangor.
Turut serta dalam himpunan hari ini adalah wakil dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk mewakili para pekerja berbincang dengan ROS.
Pekerja akan tubuh jawatankuasa
Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, ketika perbincangan, pegawai ROS mengesyorkan pekerja membawa kes mereka ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) memandangkan ROS tidak dapat membantu mereka.
"Pekerja telah putuskan untuk tubuhkan jawatankuasa sendiri agar JTK beri perhatian terhadap tuntutan mereka.
"Saya juga harap dengan tindakan ini, mereka akan dapat menarik perhatian kerajaan, seperti Kementerian Sumber Manusia, untuk campur tangan dan bantu mereka," katanya.
Kamarul turut menyelar tindakan Nationwide Express, menyifatkan syarikat itu sebagai tidak bertanggungjawab memandangkan kebanyakan pekerja adalah golongan berpendapatan rendah.
Katanya, syarikat itu sekurang-kurangnya perlu memindahkan pekerja mereka ke syarikat lain jika ia tidak mampu membayar gaji mereka sepenuhnya.
Nationwide Express menghentikan operasi pada 15 Disember lalu selepas beroperasi selama lebih 37 tahun. Menurut Kamarul, hanya kakitangan peringkat pengarah yang dikekalkan untuk mengendalikan proses pemberhentian pekerja.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Nationwide Express mengesahkan akan menutup operasinya namun enggan mengulas mengenai tuntutan pekerja.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai