Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pindah kuasa kawal selia gas langkah realisasikan MA63'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keputusan kerajaan persekutuan memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah adalah satu langkah ke hadapan ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Ketika mengalu-alukan keputusan yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam, Hajiji berkata ini sentiasa menjadi aspirasi negeri itu dan rakyatnya..

Hajiji berkata dia telah membangkitkan keperluan untuk memenuhi MA63 semasa pertemuan pertamanya dengan Anwar selepas dia dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov lalu.

"Kerajaan negeri teguh dalam usaha untuk mengawal dan menguruskan sumber minyak dan gas negeri," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, selepas keputusan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengadakan sidang khas untuk meluluskan dan mewartakan Rang Undang-Undang Negeri Sabah bagi bekalan gas.

Hajiji berkata Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia untuk bekalan gas di darat (penggasan semula, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan runcit) di negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan pusat bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk menghormati MA63.

-Bernama