Skip to main
Logo Malaysiakini

Mangsa sindiket ditawar jadi pekerja di S'pura, gaji lebih RM4,000

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peluang menjadi pekerja pembersihan di Singapura dengan gaji lebih AS$1,000 merupakan antara peluang pekerjaan yang diiklankan oleh pihak yang mendakwa menjadi ejen, bagi menarik warga Malaysia kepada sindiket penipuan yang berpangkalan di KK Garden di Myawaddy, Myanmar.

Mohd Farhan Azman, 19, meninggalkan Parit Raja di Batu Pahat, Johor untuk menerima tawaran bekerja di Singapura, hanya untuk mendapati ia sebenarnya tidak wujud.

Farhan sebaliknya ditawarkan kononnya untuk menjadi pembantu rumah di Bangkok, Thailand, dengan gaji yang hampir sama - iaitu hampir tiga kali ganda gaji minimum Malaysia.

Farhan dan rakannya, Muhammad Riduan Arif, 21, juga dari Parit Raja, antara enam rakyat Malaysia yang diselamatkan dari KK Garden dan mendarat di KLIA semalam.

Mereka merupakan kumpulan terbaru yang pulang ke Malaysia, selepas sejumlah 261 warga Malaysia diselamatkan dan dibawa pulang dari Kemboja, Laos, Thailand, dan Myanmar antara April dan September tahun ini.

Ditemani Adun Teruntum Sim Chon Siang, mereka berjalan keluar ke balai ketibaan kira-kira jam 1.45 tengah hari, disambut pelukan ibu bapa dan ahli keluarga.

"Farhan pergi pada September. Bukan dia seorang, sebab saya dengar ada kawan dia yang lain turut pergi.

"Mereka ikut seseorang yang saya tidak kenal, tetapi saya dengar orang itu ‘melayan’ apa saja kemahuan mereka di Johor Bahru sebelum ke Singapura," kata Azman Omar, bapa Farhan.

Dari Lapangan Terbang Changi Singapura, mangsa diterbangkan ke Bangkok, di mana mereka "diiring" dalam perjalanan berbahaya melalui laluan haram menuju Mae Sot di sempadan Thailand dan kemudian ke Myawaddy.

Pangkalan mereka iaitu 'KK Garden' terkenal sebagai hab sindiket penipuan dalam talian dan terletak di kawasan yang besar dan terpencil dengan kawalan keselamatan yang ketat.

"Sebaik tiba di Bangkok, dua atau tiga lelaki dengan pistol membawa mereka ke Mae Sot.

"Mereka tidak boleh keluar. Dinding setinggi empat meter dan terdapat kawat duri. Mustahil untuk melarikan diri," kata Sim kepada pemberita di KLIA.

Menurut Sim, dia menyaksikan sendiri individu bersenjatakan senapang mengawal kawasan itu. Ketika itu dia berada di sempadan Thailand yang dipisahkan oleh Sungai Moei.

Sim mendedahkan adegan penyeksaan di KK Garden daripada mangsa yang berkongsi video, yang antara lain memaparkan mangsa dipukul dan dihadapkan dengan penyeksaan lain yang didakwa telah meragut nyawa, termasuk warga Malaysia.

'Penipuan Love Scam'

Ketika dalam tahanan, mangsa dilarang untuk berhubung dengan orang luar tetapi ibu Farhan, Zahiriah Abdul Rashid berkata, anaknya beberapa kali dapat menghubunginya untuk memaklumkan keadaannya.

Zahiriah berkata dia diberitahu bagaimana Farhan dipaksa melakukan penipuan "Love Scam" dalam talian, melibatkan perisian menukar suara dan manipulasi imej, untuk memikat lelaki agar memindahkan wang.

Ada sasaran ditetapkan dan dia berisiko dikenakan hukuman jika tidak dapat mencapainya.

Sim malah berkata mangsa yang gagal membuat penipuan boleh berakhir dengan kematian dan organ mereka dijual di pasaran gelap.

"Jika ada permintaan, jika anda tidak boleh menjadi scammer, mereka mungkin 'memotong anda'. AS$400,000 untuk jantung, AS$20,000 untuk sepasang mata, inilah yang berlaku di Myawaddy.

"Di luar kawasan itu terdapat sungai yang penuh dengan buaya dan di situlah mayat akan dibuang [...] Bunyinya seperti adegan dalam filem, tetapi ini benar," kata Sim.

Secara keseluruhannya, Sim mendakwa terdapat kira-kira 1,000 rakyat Malaysia yang masih "bekerja" di KK Garden dan usaha sedang dijalankan untuk membantu mereka yang ingin pulang.

Sebelum ini, katanya, tuntutan wang dibuat sebagai pertukaran agar mangsa yang terperangkap, termasuk Farhan dan Riduan, dibebaskan dengan selamat.

Bagaimanapun, ibu mereka awal bulan ini dilaporkan telah merayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membantu mereka - seterusnya menarik perhatian di peringkat antarabangsa terhadap apa yang didakwa berlaku di KK Garden.

Sim Chon Siang

Akhirnya, menerusi langkah yang dipercayai untuk mengelakkan tekanan luar, Farhan dan Riduan dibebaskan merentasi sempadan ke Mae Sot, dan mereka kemudian menghubungi pegawai dari Kedutaan Malaysia di Bangkok.

Pihak kedutaan kemudian menghubungi ahli perniagaan Malaysia yang berpangkalan di Bangkok, Victor Wong. Wong dikenali atas kejayaannya membawa pulang mangsa dari KK Garden.

"Saya dapat panggilan daripada pegawai kedutaan yang meminta bantuan saya, mengetahui saya ada hubungan di Mae Sot.

"Jadi, saya mengaturkan hotel dan hantar wang untuk mereka dan mereka berada di sana selama empat hari," kata Wong.

Nasihat kepada pencari kerja

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan yang menguruskan perjalanan keluarga Farhan dan Riduan dari Parit Raja ke Kuala Lumpur.

Aminolhuda

Dia menasihati agar semua yang sedang mencari kerja agar berhati-hati dan menolak tawaran yang tidak berpijak di bumi nyata.

"Jika gaji yang ditawarkan seperti terlalu tinggi untuk tahap kelayakan yang diperlukan atau jawatan yang diiklankan, itu boleh menjadi tanda-tanda penipuan," katanya.

Selain Farhan dan Riduan, empat lagi mangsa yang pulang semalam ialah Yong Ying Yien yang berusia 30 tahun dari Kota Kinabalu, Sabah; Felix Lim, 27, juga dari Kota Kinabalu; Wong Chee Hoon, 27, dari Kuala Lumpur dan Lim Han Hsin, 28, dari Miri, Sarawak.