Skip to main
Logo Malaysiakini

Keutamaan KKM tambah baik kemudahan di K'tan hadapi banjir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) meletakkan keutamaan menambah baik fasiliti penting diperlukan Kelantan yang kerap dilanda banjir, dengan menggunakan sebahagian daripada peruntukan segera bantuan banjir RM50 juta yang diumumkan kerajaan Pusat.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata beliau dimaklumkan bahawa Kelantan memerlukan fasiliti yang lebih spesifik seperti lori dan ambulans pacuan empat roda bagi memudahkan kerja-kerja penyaluran bantuan.

“Itu memang satu keperluan dan kita akan usahakan dengan bajet yang telah diluluskan.

"Kita akan usahakan fasiliti-fasiliti tersebut secepat yang mungkin dan kami meletakkan keutamaan tinggi untuk persediaan itu,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Kesihatan Daerah Pasir Mas di Kelantan hari ini.

Dalam lawatan yang turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Asmayani Khalib dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin, Dr Zaliha diberikan taklimat situasi semasa banjir di Kelantan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Izamin Idris.

Menurut beliau KKM juga mengambil langkah proaktif dengan melakukan saringan Covid-19 ke atas semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Mereka yang didapati positif akan diasingkan daripada mangsa-mangsa lain. Beberapa tindakan juga diambil terhadap pesakit yang memerlukan rawatan lebih teliti, dan kita telah mengambil tindakan cepat memindahkan mereka untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera bantuan banjir berjumlah RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu dengan masing-masing memperoleh RM50 juta susulan keadaan banjir yang serius demi kebajikan rakyat.

Sementara itu, dalam kenyataan media sempena lawatan itu, Dr Zaliha berkata KKM telah menggerakkan 20 pasukan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi memberi perkhidmatan sokongan emosi dan bantuan awal psikologi (PFA) kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas.

Beliau berkata anggota kesihatan juga berkemungkinan terkesan dari segi emosi akibat bencana banjir itu dan mereka juga sedang dikenal pasti agar bantuan awal psikologi dapat diberi mengikut keperluan.

Antara perkhidmatan yang diberikan ialah sesi relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan, katanya.

"Secara keseluruhan, sebanyak 835 PFA telah dilakukan kepada orang awam dan 21 PFA kepada petugas barisan hadapan dengan tiada kes yang dirujuk kepada Pakar Perubatan Keluarga atau Pakar Perubatan Psikiatri," katanya.

- Bernama