Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dosa' jemaah haji: Hadi remehkan ibadah umat Islam - Umno Kedah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemimpin Umno Kedah menyifatkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkaitan ‘dosa’ jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi sebagai memperlekehkan ibadah umat Islam.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin turut membangkitkan kenyataan kontroversi Hadi pada masa lalu, termasuk yang disifatkan sebagai mengkafirkan musuh politiknya, yang telah menyebabkan perpecahan umat Islam.

"Beliau (Abdul Hadi) tidak sepatutnya meremehkan ibadah seorang muslim yang lain hanya demi memperoleh laba politik peribadi.

"Isu takfir, meremehkan ibadah muslim yang lain, memperkecilkan iman muslim yang lain hanya akan memecah belahkan umat Islam dengan lebih buruk.

"Ini pernah terjadi akibat daripada ucapan Tuan Guru Abdul Hadi sendiri yang mengkafirkan musuh politik dan kemudiannya menyebabkan sembahyang dua imam, tidak makan sembelihan sesama Islam, tidak sembahyang jenazah berlainan fahaman politik dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden PAS itu memberi pesanan khusus kepada bakal jemaah haji dan umrah dengan mengingatkan mereka terhadap kewajipan mengundi dalam pilihan raya.

Ia dibuat tidak sampai lima minggu selepas PRU ke-15 dan menjelang pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) di beberapa negeri yang dijangka berlangsung tahun depan.

Memulakan catatannya dengan memetik ayat al-Quran mengenai amaran seksaan terhadap orang Islam yang enggan "berjuang" serta kemungkinan mereka akan digantikan dengan kaum yang lain, Abdul Hadi berkata Rasulullah SAW mendahulukan asas memelihara agama dengan menjadikan ia satu kewajipan.

"Apabila Islam dalam keadaan bahaya, maka hukum jihad yang asalnya fardu kifayah bertukar menjadi fardu ain dan hendaklah diutamakan," kata Abdul Hadi.

Dia juga mendakwa ketika 98 peratus bukan Islam dari seluruh pelusuk dunia dikerah pulang menyokong DAP, hanya 60 peratus orang Islam keluar mengundi, walaupun alasannya kerana haji dan umrah.

Tidak jelas bagaimana Hadi memperoleh angka peratusan yang disebutnya. Dia juga tidak menghuraikan lanjut dalam tulisan panjang lebarnya itu.

Kenyataan itu disanggah bekas pemimpin Dewan Ulama PAS, Khairuddin Aman Razali yang antara lain berkata tindakan Hadi "mengqiyaskan" perkara itu dengan tindakan lari daripada medan perang adalah “istinbat (mengeluarkan) hukum yang tersasar dan sangat tidak halus”.

Shaiful Hazizy turut membangkitkan tindakan Hadi memetik kandungan surat ulama hadis, Abdullah al-Mubarak kepada sahabatnya, Fudhail ‘Iyadh yang berbunyi: “Wahai orang yang sedang beribadat di dua Tanah Haram (Mekah dan Madinah), ketahuilah engkau hanya bermain-main dalam ibadat itu” dan "Orang yang pipinya berlumuran air mata khusyuk beribadat. Ketahuilah bahawa leher kami berlumuran darah berjuang.”

Baginya, Hadi tidak sepatutnya membawa perumpaan itu yang boleh membawa kepada salah faham yang dan pembacaan politik yang bahaya.

"Pada pendapat saya, mengundi hanyalah ijtihad politik. Pengundi memilih pemimpin mengikut dasar yang disukai mereka. Tidak lebih daripada itu," katanya lagi.