Skip to main
Logo Malaysiakini

Kementerian Wilayah kini jadi jabatan di bawah JPM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pentadbiran Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, yang sebelum ini merupakan sebuah kementerian telah distrukturkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kementerian Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 43 tahun lalu, iaitu pada 1979.

Penstrukturan semula itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Zuki, taklimat berkenaan struktur pentadbiran terkini wilayah persekutuan disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Rosida Jaafar kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Sementara itu, kerajaan turut mewujudkan semula majlis untuk ahli parlimen Wilayah Persekutuan terlibat dalam soal-soal berkaitan.

"Majlis Interaksi Wilayah Persekutuan merupakan platform antara pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan dengan ahli-ahli parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu-isu kritikal serta cadangan pelaksanaan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan," katanya.

PH sebelum ini berjanji agar pengundi di Kuala Lumpur mempunyai lebih banyak suara dalam menentukan cara DBKL dikendalikan.

DBKL sebelum ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan.