Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Perpaduan M'sia bermula dengan memulangkan hak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Apabila kerajaan Malaysia diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kuasa selia gas di Sabah diserahkan pada kerajaan negeri ia membuktikan komitmen kita untuk membina sebuah negara bangsa yang kukuh.

Dalam sebuah negara bangsa, kita harus ada toleransi dan persefahaman, dan persetujuan atas perpaduan dan hak masing-masing. Jika tidak sebuah negara bangsa tidak stabil. Malaysia, seperti kebanyakan negara di dunia bukanlah sebuah negara homogeneous, bermakna bukan hanya satu etnik yang wujud dan mendominasi.

Malaysia dengan warisan ribuan tahun dahul terbentuk dengan wujudnya pelbagai etnik termasuk Melayu, Peranakan, Orang Asli, Dayak, Bidayuh, Iban, Murut dan orang dagang seperti Arab, Parsi, Jawa, Aceh, Banjar dan sebagainya. Setelah peajajahan keadaan tanah ini lebih berwarna-warni dengan kedatangan etnik India dan Cina. Dengan semangat perpaduan ini kita membentuk sebuah negara bernama Malaysia.

Malaysia dibentuk pada 1963 dengan perjanjian Malaysia (MA63). Walaupun Singapura kemudiannya ‘ditendang’ keluar, Sabah dan Sarawak kekal dengan perjanjian ini. Dengan kewujudan sahabat dari Borneo, ia bukan sahaja menyumbang pada pembangunan Malaysia, tetapi juga kewangan melalui sumber alam, pelancongan, sumber tenaga manusia (pekerja) dan keselamatan. Ini terutama kerana secara geopolitiknya Sabah adalah titik kestabilan untuk kepulauan Semenanjung, Kalimantan dan Jawa.

Bagi orang Borneo, mereka melihat Perjanjian Malaysia dengan model Denmark , yang merupakan sebuah negara kesatuan secara perlembagaan yang merangkumi wilayah autonomi Kepulauan Faroe dan Greenland di Lautan Atlantik Utara. Kedua-duanya mempunyai kuasa autonomi dalam beberapa hal.

Anwar dan Abang Johari

Orang Borneo melihat mereka ada kedudukan sama rata dalam penbentukan Malaysia. Tanpa mereka tidak ada Malaysia.

Dan oleh kerana mereka tidak berkongsi raja-raja dan sosiopolitik yang sama, mereka diberikan hak-hak istimewa. Sarawak misalnya adalah “negara” sendiri semasa zaman kolonial dan bukan bernaung dibawah British-Malaya , Sarawak diperintah oleh “Rajah”nya sendiri. Sabah pula walaupun diperintah oleh British namun ia masih menjadi “negara sendiri” sebagai North Borneo sebelum masuk ke dalam Malaysia pada 1963.

Jadi mereka punya hak sendiri sebagai “negara” gabungan. Hal ini dinyatakan dalam Memorandum 20 yang antara lain menyebut:

1. Islam adalah agama rasmi Persekutuan Malaysia tetapi ianya dikecualikan ke atas Sabah dan Sarawak.

2. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi Bahasa Inggeris akan digunakan sebagai bahasa rasmi di Sabah dan Sarawak.

3. Sistem pendidikan dikekalkan di bawah kawalan kerajaan pusat kecuali di Sabah dan Sarawak. Sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak kekal di bawah kawalan kerajaan negeri masing-masing sehingga Majlis Negeri membuat pindaan.

5. Bidang kuasa Imigresen terletak di bawah kerajaan pusat tetapi Sabah dan Sarawak diberi kuasa-kuasa tersendiri untuk mengendalikan hal ehwal Imigresen.

Perjanjian Malaysia 1963 bukan sahaja diiktiraf di dalam Malaysia, bahkan termasuklah PBB dan komuniti antarabangsa.

Namun akibat kurangnya kefahaman, orang semenanjung Malaysia melihat bahawa idea federalisme kita mirip Amerika Syarikat. Ini salah. Hakikatnya perjanjian ini lebih mirip dengan Denmark-Greenland.

Greenland ialah sebuah negara di kepulauan di Amerika Utara yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Denmark. Greenland dan Kepulauan Faroe adalah sebahagian daripada tiga negara konstituen yang membentuk kerajaan Denmark. Rakyat negara-negara ini adalah warga Denmark dan anggota Kesatuan Eropah.

Tapi Greenland punya autonominya sendiri dalam beberapa hal termasuk ada premiernya sendiri, walau Denmark sudah ada perdana menteri dan raja. Perdana menteri Denmark adalah Mette Frederiksen, monarki mereka adalah Margrethe II.

Pada masa sama Greenland ada premier sendiri iaitu Múte Bourup Egede yang “setaraf tetapi tidak benar-benar setaraf” dengan perdana menteri Denmark. Kedengaran seperti premier Sarawak, bukan?

Sepanjang sejarah kerajaan pusat, sering ada idea federalisme ala Amerika dan bukan ala negara Nordic seperti Denmark. Hak-hak Borneo sering dipolitikkan oleh parti-parti di Borneo, kononnya mereka mahu perjuangkan hak tapi pihak federal tidak pernah mahu selesaikan.

Pada 2019, selepas cadangan pindaan Perlembagaan Malaysia 2019 mengenai status kedudukan sama rata Sabah dan Sarawak gagal diluluskan, kerajaan persekutuan Malaysia bersetuju untuk menyemak semula perjanjian untuk memulihkan perjanjian dengan "Jawatankuasa Kabinet Khas Untuk Mengkaji Perjanjian Malaysia". Akhirnya tujuh Perkara diputuskan:

1. Hak duti eksport ke atas eksport pembalakan dan hasil hutan.

2. Pengagihan gas dan kuasa pengawalseliaan ke atas elektrik dan gas.

3. Pelaksanaan Kerja Raya Persekutuan dan Negeri.

4. Tenaga manusia.

5. Kuasa negara dalam isu kesihatan.

6. Pentadbiran pulau Sipadan dan Ligitan untuk Sabah.

7. Isu pertanian dan perhutanan.

Walaupun hal ini cuba diselesaikan, ramai yang beranggapan ia akan jadi gajah putih lagi, perjanjian ini akan hidup tak bernyawa. Namun PMX meneruskan dan melaksanakan apa yang sudah dijanjikan. Mengotakan janji.

Dengan pengotaan janji ini, Sabah dan Sarawak akan lebih selesa untuk hidup sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung. Hal ini akan lebih menstabilkan Malaysia dan mengurangkan desakan-desakan untuk keluar dari Malaysia. Malaysia boleh fokus untuk ke hadapan dan memajukan negara daripada mendengar ugutan perpecahan dan keluar dari negara.

Maka, ya ,perpaduan Malaysia bermula dengan memberi hak pada yang berhak.


AMIRUL MUKMININ ialah ialah seorang penganalisis politik dan lepasan dari universiti di Istanbul dalam bidang sains politik dan hubungan antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.