'Puluhan lotong ditembak mati': Perhilitan, kementerian gagal batal saman
Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengetepikan saman berhubung penakaian (culling) lotong bercelak (Trachypithecus obscurus).
Susulan keputusan mahkamah hari ini, tindakan sivil oleh kumpulan pembela haiwan Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) ditetapkan untuk perbicaraan penuh selama empat hari mulai 8 Jan 2024.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Hidup, mengesahkan keputusan yang disampaikan Azizul awal hari ini.
“Permohonan Perhilitan (dan kementerian) untuk membatalkan (saman) telah ditolak hari ini oleh Mahkamah Tinggi Seremban.
“Hakim Azizul Azmi Adnan menetapkan tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jan 2024.
“Ini kemenangan besar bagi hak lotong bercelak di Malaysia dan Perhilitan perlu mewajarkan pembunuhan besar-besaran lotong bercelak di Port Dickson,” kata peguam itu kepada Malaysiakini.
Rajesh berkata pihak berkuasa berhujah untuk membatalkan tindakan sivil itu, menyebutnya sebagai remeh, menyusahkan, dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi pasukan undang-undang Perhilitan dan kementerian terbabit berhubung keputusan mahkamah pada hari ini.
Haiwan terancam, dilindungi undang-undang
Pada 23 Julai tahun lepas, dilaporkan seorang individu berusia 28 tahun dan Hidup telah memfailkan saman terhadap Perhilitan dan kementerian berhubung tindakan penakaian terhadap lotong bercelak (dusky leaf monkeys).
Tindakan sivil itu difailkan berhubung dakwaan pegawai Perhilitan membunuh 20 ekor lotong bercelak yang merupakan haiwan terancam di Taman Raja Zainal, Port Dickson sebelum ini pada 19 Mei lalu.
Lotong bercelak atau digelar juga lotong cengkung dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 sebagai spesies terancam, yang menyediakan perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar.
Sejarah pertama negara
Semasa sidang akhbar, Rajesh mendakwa rundingan politik dan petisyen sebelum ini yang difailkan oleh penyokong hak haiwan dan hidupan liar terbukti tidak berkesan.
Katanya, dengan bantuan peguam hak haiwan, Hidup memohon bantuan daripada badan kehakiman untuk mengemukakan kes penderaan hidupan liar.
Menurut peguam hak asasi haiwan Sachpreetraj Sohanpal, kes itu merupakan sejarah pertama apabila aktivis hak haiwan telah menyeret pihak berkuasa hidupan liar ke mahkamah berhubung isu hidupan liar.
Prosiding mahkamah secara maya menampilkan dua plaintif, pemilik restoran Nurul Azreen Sultan dan Hidup, serta empat peguam dari Lawyers for Animal Rights.
‘Serangan’ punca pembunuhan beramai-ramai
Pada 19 Mei 2021, Azreen - yang menjadi saksi kejadian itu - mendakwa kira-kira jam 10 pagi, dia terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumahnya.
Tidak lama selepas bunyi bising itu, seorang jiran mendekatinya, berkata ada orang sedang menembak monyet tidak jauh dari rumahnya.
Bagaimanapun, dia mendakwa pegawai Perhilitan bergegas pergi sebaik dia tiba di lokasi penakaian itu.
Apabila bapanya kemudian menghubungi Perhilitan berhubung kejadian itu, mereka diberitahu bahawa Perhilitan bertindak atas aduan awam yang dibuat mengenai seorang guru yang didakwa diserang oleh seekor lotong bercelak.
Pun begitu, Azreen mempertikaikan perkara itu, mendakwa lotong berkenaan hidup bersama penduduk secara aman manakala Hospital Port Dickson atau klinik tempatan tidak melaporkan sebarang kes terbaru seperti yang digambarkan oleh Perhilitan.
Perhilitan sejak itu menafikan tuduhan pihaknya menembak mati 20 ekor haiwan terancam itu dan menjelaskan jabatan itu hanya membunuh tujuh ekor lotong bercelak yang mengganggu di kawasan itu, seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today.
Perhilitan juga berkata tidak ada satupun daripada lotong bercelak yang dibunuh adalah juvana.
Wakil Hidup, Sharifah Sofia mendakwa terdapat penyelesaian alternatif untuk menyelesaikan isu lotong bercelak yang "bermasalah" - termasuk menembak dengan ubat penenang, memindahkan lokasi dan pemulihan.
Perhilitan sebelum ini berkata pihaknya telah mempertimbangkan semua sudut dan telah cuba memerangkap lotong itu tetapi tidak berjaya sebelum pemusnahan berlaku.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai