Skip to main
Logo Malaysiakini

Afghanistan patut pertimbang semula keputusan 'haramkan' wanita belajar di universiti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas menteri agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengkritik tindakan pihak berkuasa Afghanistan yang menafikan akses pendidikan terhadap golongan perempuan di universiti.

Senator itu menggesa pihak berkuasa Afghanistan untuk mempertimbangkan semula ‘pengharaman’ itu.

“Saya memuji pendirian Imam Besar Al-Azhar dan amat kesal dengan pilihan yang dibuat oleh pihak berkuasa Afghanistan untuk menafikan akses wanita Afghanistan kepada pendidikan universiti.

“Ia jelas bercanggah dengan prinsip Islam dan desakan untuk lelaki dan wanita menuntut ilmu.

“Kedua-dua jantina adalah mulia dan berkhidmat sebagai khalifah Allah di muka bumi,” katanya pada satu kenyataan di media sosial.

Imam Besar Al-Azhar Ahmed El-Tayeb pada Khamis dilaporkan berkata larangan yang dikenakan oleh Taliban terhadap pengajian universiti wanita bercanggah dengan seruan Syariah Islamiah supaya lelaki dan wanita menuntut ilmu "dari buaian hingga ke liang lahad".

Tayeb menjelaskan lebih daripada dua ribu petikan hadis Nabi Muhamad SAW dalam hal ini dan ramai wanita Islam yang merintis bidang pengetahuan sains, pendidikan, dan politik.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata pendidikan adalah hak dan kewajipan untuk semua orang.

Bekas menteri agama era pentadbiran Muhyiddin Yassin itu juga menyertai gesaan yang mengecam kerajaan Taliban kerana melarang wanita menghadiri universiti di Afghanistan, termasuk daripada sayap Wanita DAP dan PKR.

“Tiada diskriminasi di tempat ini. Ia juga membayangkan bahawa menjana dan mengajar ilmu bukan sahaja dilakukan oleh lelaki, tetapi juga oleh wanita.

“Oleh demikian, apa yang mereka lakukan sama sekali tidak memihak kepada Islam, dan menimbulkan lebih banyak salah faham dan Islamofobia; gabungan prasangka, ketakutan dan kebencian terhadap umat Islam dan Islam,” kata Zulkifli.

Dia mengetengahkan peranan penting yang dimainkan oleh cendekiawan wanita Islam dalam sejarah awalnya, seperti A’ishah Abu Bakar, Ummu Salamah Abu Umayyah dan Hafsah Umar.

Pada 20 Dis, kerajaan Taliban mencetuskan kritikan global kerana menggantung akses ke universiti oleh pelajar perempuan sehingga diberitahu kelak.

Keputusan itu dibuat ketika ramai pelajar universiti sedang menduduki peperiksaan akhir penggal mereka.

Pada bulan Mac, Taliban mendapat kritikan daripada banyak kerajaan asing dan beberapa warga Afghanistan kerana menukar janji mereka sebelum ini untuk membuka semula semua sekolah menengah perempuan.