Masa untuk pengeluar tuala wanita menyumbang, kata NGO
Dalam keadaan serba terhad dan berdepan dengan kesan banjir, wajar untuk pihak korporat menghulurkan bantuan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.
Antara syarikat yang wajar melakukan CSR itu, kata aktivis masyarakat Raja Shamri Raja Husin, ialah pengeluar tuala wanita.
Kata pengerusi eksekutif Yayasan Raja Shamri itu tidak seperti sangkaan sesetengah pihak, tuala wanita adalah antara bahan yang kritikal dan sangat diperlukan oleh seseorang yang dalam keadaan sukar, termasuk mangsa banjir.
“Disebabkan baru-baru ini ada banjir besar, kedai-kedai ditutup dan bagi orang-orang yang kurang bernasib baik, mungkin mereka tak dapat bekerja, justeru semua mereka pendapatan tak ada.
"Dengan cara itu sekurang-kurangnya dapatlah kita meringankan beban mangsa banjir dan pada masa sama membantu menjaga kebersihan diri wanita terbabit,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia yang kini sibuk menyertai misi bantuan membantu mangsa banjir di beberapa tempat di Kelantan berkata, tidak semua penduduk terbabit baru saja menjadi mangsa banjir.
Sebaliknya kata Raja Shamri ada sesetengah mereka sudah berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak sebulan lalu kerana rumah mereka ditenggelami air akibat masalah tebatan banjir.
“Jadi rasanya elok sangatlah kalau ada kilang pengeluar tuala wanita sudi membuat CSR dengan memberikan produk mereka secara percuma kepada mereka yang berada di PPS dan mangsa lain," katanya.
Bagaimanapun nampaknya saranan Raja Shamri itu tidak sepenuhnya mendapat respon yang baik.
Selepas membuat saranan begitu, dia berdepan dengan kecaman segelintir pihak yang menyalah tafsir usaha berkenaan.
Banjir di Kelantan berlaku sejak awal bulan lalu dengan bermula di Pasir Mas.
Bagaimanapun kali ini Tumpat menjadi antara kawasan paling teruk terjejas selepas hujan lebat yang berterusan melanda kawasan itu minggu lalu.
Banjir di Kelantan juga memakan beberapa korban termasuk tiga adik-beradik perempuan yang terkena renjatan elektrik di Kampung Morak, Tumpat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai