Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemegang unit disaran letakkan keyakinan untuk terus labur dalam ASB

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Meskipun kadar dividen Amanah Saham Bumiputra (ASB) tahun ini dilihat agak rendah, pemegang unit masih boleh meletakkan keyakinan untuk terus melabur, kata penganalisis ekonomi Zakariah Abdul Rashid.

Zakariah berkata ini kerana negara sedang menghadapi fasa pemulihan ekonomi yang baru sahaja bermula sejak beberapa bulan yang lalu berikutan pandemik Covid-19.

“Jika pemulihan ini kekal berpanjangan untuk menggenapkan tempoh 12 bulan, kadar dividen akan datang akan lebih baik daripada yang diumumkan sekarang ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) itu berkata, mereka yang membuat pinjaman bank bagi pembiayaan ASB juga disarankan terus mengekalkan pelaburan mereka.

Katanya, adalah menjadi adat dalam pelaburan unit amanah dan ekuiti turut mempunyai risiko.

“Jika boleh bertahan dengan tekanan kewangan yang sedang dihadapi ekoran peningkatan bayaran balik kerana kadar bunga yang semakin tinggi, elok teruskan bertahan kerana pemulihan ekonomi yang sedang berlaku ini jika terus berkekalan akan menjanjikan pulangan yang lebih baik untuk kadar dividen akan datang,” katanya.

Baru-baru ini, Permodalan Nasional Bhd (PNB) melalui anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran agihan pendapatan 4.60 sen seunit untuk dana utamanya, ASB, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Pada 2021, pengagihan pendapatan ASB adalah 5.0 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.

Bagaimanapun, Zakariah berkata pelabur perlu mengambil risiko keadaan ekonomi yang dijangka lembab sehingga 12 bulan akan datang.

“Sekarang ini penunjuk ekonomi kelihatan lebih baik daripada tempoh 12 bulan sebelumnya tetapi kita masih perlu mengharungi tempoh 12 bulan berbaki, yang dikatakan masih tidak memberikan kepastian yang kukuh yang ia akan berterusan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Barjoyai Bardai berkata sekiranya pelabur ingin membatalkan pinjaman, mereka perlu membandingkan kadar faedah yang dibayar dalam tempoh pinjaman pelaburan ASB mereka.

Mengulas lanjut, Barjoyai menyarankan supaya pelabur menerima kadar dividen yang diumumkan sebagai satu ujian awal, memandangkan pasaran saham yang agak “longlai” pada masa ini.

“Selagi kadar dividen lagi tinggi daripada kadar pinjaman, selagi itu kita (boleh), kata pelaburan itu masih berwibawa.

“Jadi patut teruskan melabur dan tak patut berhenti sebab untuk mendapat pinjaman bagi melabur dalam ASB pun bukan mudah,” katanya.

“(Sebaliknya), kalau kadar pinjamannya adalah lebih tinggi daripada kadar peratusan dividen, memang patut jual.

“Dia (pelabur) tak ada pilihan lainlah dan berhenti melabur - akan menambah kerugian kalau dia terus melabur,” katanya.