Taliban arah NGO hentikan pekerja wanita
Pentadbiran Taliban di Afghanistan semalam mengarahkan semua NGO tempatan dan luar negara untuk menghentikan pekerja wanita mereka.
Langkah itu menurut PBB akan menjejaskan operasi kemanusiaan di saat musim sejuk tiba di negara itu yang sedang mengalami krisis ekonomi.
Surat daripada kementerian ekonomi, yang disahkan jurucakapnya Abdulrahman Habib, berkata pekerja wanita NGO tidak dibenarkan bekerja sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak kerana ada yang tidak mematuhi tafsiran pentadbiran Taliban berhubung kod pemakaian wanita dalam Islam, lapor agensi Reuters.
Arahan itu dibuat beberapa hari selepas Taliban melarang wanita melanjutkan pengajian di universiti, menyebabkan kecaman global dan mencetuskan beberapa protes dan kritikan hebat di Afghanistan.
Kedua-dua keputusan itu adalah sekatan terbaru ke atas wanita yang berkemungkinan menjejaskan usaha pentadbiran Taliban untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan menamatkan sekatan yang amat menjejaskan ekonominya.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken dalam ciapan Twitter berkata dia "amat bimbang" langkah itu "akan mengganggu bantuan penting yang dapat menyelamatkan nyawa berjuta-juta orang,” sambil menambah: "Wanita adalah teras operasi kemanusiaan di seluruh dunia. Keputusan ini akan mengecewakan untuk rakyat Afghanistan."
Timbalan wakil khas PBB untuk Afghanistan dan penyelaras kemanusiaan Ramiz Alakbarov memberitahu Reuters bahawa walaupun PBB belum menerima arahan itu, NGO yang diberi kontrak oleh pertubuhan itu yang menjalankan kebanyakan aktiviti kemanusiaan dan akan terusk terjejas.
“Banyak program kami yang akan terjejas,” katanya.
Katanya, ini kerana NGO tersebut memerlukan kakitangan wanita untuk menilai keperluan kemanusiaan dan mengenal pasti penerima, dan tanpanya mereka tidak akan dapat melaksanakan program bantuan.
Agensi bantuan antarabangsa AfghanAid berkata ia menangguhkan operasi serta-merta sementara ia berunding dengan organisasi, dan NGO lain turut mengambil tindakan serupa.
Risiko terjejasnya program bantuan yang dapat diakses berjuta-juta rakyat Afghanistan berlaku di saat lebih separuh daripada penduduk negara itu bergantung pada bantuan kemanusiaan, dan ketika musim paling sejuk melanda negara pergunungan itu.
"Tiaada masa yang sesuai untuk perkara seperti ini... tapi kali ini sangat malang kerana pada musim sejuk orang ramai paling memerlukan bantuan dan musim sejuk Afghanistan sangat mencabar,” kata Alakbarov.
Dia berkata pejabatnya akan berunding dengan NGO dan agensi PBB hari ini dan berusaha untuk bertemu dengan pihak berkuasa Taliban untuk mendapatkan penjelasan.
Menurut AfghanAid, sejumlah 28 juta rakyat Afghanistan dianggarkan memerlukan bantuan kemanusiaan tahun depan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai