Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Hadi sangat salah - Lim

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Abdul Hadi Awang, anda sangat salah. DAP bukan sahaja mewakili suara orang bukan Melayu dan orang bukan Islam, tetapi DAP mewakili rakyat Malaysia – termasuklah orang Melayu dan orang Islam.

Seminggu selepas undi percaya terhadap Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 di Parlimen, semakin ramai rakyat Malaysia kini berpendapat yang Anwar mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk kekal sebagai Perdana Menteri selama lima tahun.

Tetapi, perkara ini juga telah meningkatkan lagi usaha pihak yang masih belum berputus asa untuk menumbangkan kerajaan Anwar Ibrahim seperti dalam Langkah Sheraton sebelum ini.

Konspirasi politik Langkah Sheraton yang pertama bermula dengan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan yang bersangkut paut dengan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (Icerd) dan juga dengan penciptaan kebencian dan syak wasangka melalui fitnah, di mana mereka menuduh DAP sebagai berada di sebalik rancangan untuk meratifikasi Icerd sebagai pembukaan serangan anti Melayu dan Islam oleh DAP.

Gambar fail, presiden PAS berucap pada demonstrasi anti-Icerd.

Hadi kini tahu yang isu Icerd pada tahun 2018 ini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan DAP, memandangkan para menteri dan pemimpin DAP sendiri terkejut seperti mana orang lain juga, dengan pengumuman perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan September 2018 mengenai ratifikasi perjanjian utama hak asasi manusia PBB.

Tetapi Hadi tidak membuat apa-apa usaha dalam empat tahun yang lepas untuk memohon maaf kepada DAP atau untuk mengakui kesilapannya dalam menabur penipuan dan fitnah berkaitan Icerd terhadap DAP.

Kini, Hadi mengulangi semula helah lamanya.

Surat Terbuka Hadi pada minggu lepas mendakwa yang kadar keluar mengundi orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih rendah berbanding dengan kaum-kaum lain bukan sahaja “tidak berasas”, tetapi merupakan langkah pertama usaha menjatuhkan kerajaan Anwar seperti Langkah Sheraton sebelum ini.

Anwar Ibrahim membuang undi.

Penganalisis politik, Bridget Welsh, dari University of Nottingham Malaysia mengatakan yang orang Melayu membentuk peratusan pengundi tertinggi berdasarkan data yang dikutipnya.

Dia mengatakan yang kadar keluar mengundi yang lebih rendah dalam kalangan orang Cina dan kumpulan etnik bukan-Melayu yang lain menafikan dakwaan Hadi yang kononnya 98 peratus golongan bukan Islam, termasuklah yang berada di luar negara, mengundi dalam PRU15 untuk “menyokong DAP” sedangkan hanya 60 peratus orang Islam sahaja yang mengundi.

Hadi memberikan amaran yang mereka yang tidak mengundi mungkin telah berdosa kerana “mereka melanggar perintah Tuhan seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.”

Welsh mengatakan yang dakwaan Hadi ini mengulangi naratifnya yang kononnya orang Melayu sedang terancam dari segi politik, menambah yang dakwaan ini tidak berasas.

Welsh memetik analisanya yang menunjukkan kadar keluar mengundi pengundi Melayu pada kadar 79 peratus, diikuti pengundi India pada 78 peratus, Cina pada 69 peratus, dan lain-lain pada 59 peratus.

Dia mengatakan walaupun kadar keluar mengundi orang Melayu lebih tinggi berbanding dengan kaum-kaum lain, bukan semua orang Melayu menyokong Perikatan Nasional (PN), yang mana PAS merupakan sebuah parti komponennya.

Dia mengatakan dalam kalangan orang Melayu yang mengundi, hanya 54 peratus sahaja yang menyokong PN.

Sekali lagi, Hadi amat salah. DAP mewakili bukan sahaja suara orang bukan Melayu dan bukan Islam, sebaliknya, DAP mewakili rakyat Malaysia – termasuklah orang Melayu dan orang Islam.

Ahli Parlimen DAP Young Shefura Othman ketika PRU15.

Bancian Populasi dan Perumahan 2010 dan 2020 telah membongkar politik toksik penipuan dan fitnah Hadi yang cuba menyemai kebencian dan syak wasangka dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurut Bancian 2020, tiga per empat rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar, dengan kebanyakan penduduk bandar dari kategori etnik bumiputera.

Kira-kira 14.1 juta orang – atau 62.6 peratus – penduduk bandar adalah bumiputera, diikuti oleh golongan etnik Cina pada 6.4 juta orang atau 28.6 peratus, etnik India pada 1.8 juta orang atau 8.1 peratus dan lain-lain kumpulan etnik pada 0.2 juta orang atau 0.7 peratus.

Nisbah penduduk bumiputera ini telah bertambah apabila dibandingkan dengan bancian terakhir pada tahun 2010, di mana 58.9 peratus penduduk bandar merupakan bumiputera, menurut data Jabatan Statistik Malaysia.

Gambar hiasan.

Maklumat dari Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan 21,173,638 orang rakyat Malaysia telah mengundi dalam PRU15 berbanding dengan 14,940,624 orang pengundi dalam PRU14 sebelum ini.

Tambahan lagi, tidak mungkin untuk DAP memenangi 12 kerusi parlimen semua calon-calon lain di kerusi-kerusi telah kehilangan deposit mereka jika DAP tidak menerima sokongan semua kumpulan kaum di kerusi-kerusi ini.

12 kerusi parlimen di mana semua lawan kepada DAP di sini kehilangan deposit mereka adalah Tanjong, Bagan, Bukit Gelugor, Bukit Bendera, Ipoh Barat, Batu Gajah, Segambut, Kepong, Cheras, Bukit Bintang, dan Seputeh.

DAP juga telah menang di 15 dari 20 kerusi dengan jumlah majoriti terbesar, didahului dengan kerusi timbalan pengerusi kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, yang telah menang di kerusi Damansara dengan majoriti sebanyak 124,619 undi.

19 kerusi-kerusi dengan majoriti besar yang lebih dari 43,882 undi adalah: Subang, Klang, Kota Raja, Bangi, Seputeh, Bukit Gelugor, Kepong, Iskandar Puteri, Segambut, Puchong, Bukit Mertajam, Ipoh Barat, Cheras, Batu Gajah, Bagan, Pandan, Kota Melaka, Tanah Merah, dan Ipoh Timur.

Mustahil untuk DAP sebegitu banyak kerusi parlimen dengan majoriti gergasi sebegini tanpa sokongan daripada semua kumpulan etnik.

DAP, yang mempunyai tiga orang ahli parlimen Melayu di Dewan Rakyat, akan terus menjadi sebuah parti yang mewakili suara rakyat Malaysia, baik orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak atau orang Islam, Buddha, Hindu, Kristian, atau Sikh.

Saya tidak jangka yang Hadi akan memohon maaf di atas politik toksik penipuan, syak wasangka, fitnah, perkauman, dan keagamaan yang ditaburnya ini, sebaliknya dia akan terus mereka-reka penipuan dan fitnah baru untuk menghasut kebencian dan syak wasangka di Malaysia.

Malaysia perlu ada kebebasan bersuara yang berteraskan kepada fakta dan pendapat tetapi kita perlu sentiasa berjaga-jaga terhadap politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan, yang berpotensi untuk memusnah masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya di Malaysia.


LIM KIT SIANG ialah veteran DAP.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.