Skip to main
Logo Malaysiakini

Dari guru ke Dewan Rakyat: MP Sri Gading mahu terus mendidik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Sama ada semasa mengajar mata pelajaran matematik di bilik darjah, menjalankan urusan pentadbiran pejabat, atau pun kini di Dewan Rakyat, yang mendorong Aminolhuda Hassan terus giat berusaha ialah keinginan untuk belajar sekali gus mendidik orang ramai.

Menjadi ahli parlimen buat kali pertama, Aminolhuda lahir dalam keluarga Umno Johor di Parit Jawa, Muar. Bapanya seorang guru agama di negeri itu.

Pengalaman melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia mengubah pandangannya kemudian apabila memahami bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan.

Ia membawa ahli parlimen Sri Gading yang mewakili PH itu memilih jalur politik yang berbeza daripada keluarganya.

Kata Aminolhuda, 63, dia - dan ramai lagi orang lain dalam generasinya - dibesarkan dengan cara didikan Islam di Johor, khususnya melalui sekolah agama kerajaan yang diwajibkan kepada semua pelajar Muslim.

Katanya secara umum didikan berkenaan ketika itu tidak begitu mendalam sebaliknya menumpukan kepada perkara asas agama seperti fardu ain dan seumpamanya.

"Tapi berkaitan dengan politik, ia tak terdedah. Apabila sebut tentang politik, dikatakan politik dengan agama tak boleh campur," katanya.

Masih terikat dengan kerja

Selepas tamat pengajian dengan diploma dalam bidang perguruan, Aminolhuda berkata dia kembali ke Johor dan mengetahui mengenai PAS daripada rakan sekolah menengah, sebelum secara rasmi menyertai parti itu pada 1982.

Sebelum itu dia pernah berkhidmat sebagai ejen tempat mengundi untuk BN bagi parlimen Muar. Ketika itu kerusi tersebut ditandingi Presiden MCA, Neo Yee Pan.

Dengan sedikit pengalaman politik, Aminolhuda kemudian ditugaskan untuk mengetuai PAS Bakri yang baru ditubuhkan. Dia dilantik menjadi ketua pemuda di situ selama beberapa tahun sebelum akhirnya menjadi ketua pemuda PAS Johor pada 1995.

Gandingan Aminolhuda dalam sayap PAS itu ialah Salahuddin Ayub yang kini menjadi timbalan presiden Amanah, merangkap menteri menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Salahuddin Ayub

"Sebenarnya Salahuddin masuk (menyertai) PAS lewat berbanding saya, tapi dia freelance (bergerak secara bebas), jadi apabila dia masuk, terus terlibat (gerak aktif kerja parti).

"Saya pula kadang-kadang saya terikat dengan kerja sebagai guru," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Pada tahun-tahun awal, Aminolhuda berdepan dengan pelbagai pengalaman pahit manis termasuk kehilangan isteri yang meninggal dunia semasa melahirkan anak ketiga mereka.

Dia kemudian berkahwin sekali lagi pada 1995 dengan isteri kedua dan kemudian menemani isteri barunya itu melanjutkan pengajian kedoktorannya di Aberdeen, Scotland.

Hanya mahu berkhidmat

Mereka hanya kembali ke Malaysia kira-kira empat tahun kemudian, iaitu selepas PRU ke-10 yang diadakan dalam kehangatan bagang gerakan Reformasi.

Kekal bersama PAS sepanjang dekad berikutnya, kerjaya Aminolhuda dalam bidang guru berkembang sehingga dilantik sebagai penolong kanan hal ehwal pelajar di Maktab Sultan Abu Bakar - atau juga dikenali sebagai English Collage - yang terkenal di Johor Bahru.

Dia sendiri melanjutkan pengajian di King's College di UK. Apabila pulang kemudian pada 2009, Aminolhuda berhadapan dengan satu daripada "persimpangan" penting yang akan membentuk masa depannya.

Ia termasuk diketepikan daripada jawatan guru besar kerana penglibatan aktifnya dengan PAS yang ketika itu menyertai Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

“Bagi saya, sebaik sahaja kita sampai ke satu persimpangan, kita perlu membuat keputusan sama ada untuk kekal di situ tanpa memberi manfaat kepada orang lain, atau membuat keputusan utama yang lebih baik demi kepentingan rakyat.

“Untuk bersama rakyat, tidak semua orang boleh melakukannya kerana ada yang mencari jawatan untuk menjadi kaya.

"Saya menjadi wakil rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat, sama seperti saya seorang guru yang mendidik,” tambahnya.

Aminolhuda - yang memilih untuk bersara awal - pertama kali bertanding dalam pilihan raya melalui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani pada 2013 atas tiket PAS.

Memenangi kerusi tersebut, dia kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Johor. Selepas PAS mengalami krisis dalaman dan penyingkiran beramai-ramai kumpulan moderat dalam parti itu, Aminolhuda menyertai Amanah.

Pada PRU berikutnya lima tahun kemudian, dia bertanding - dan mempertahankan - kerusi tersebut untuk Amanah, sekali gus menyumbang kepada PH.

Bekas ketua pembangkang Johor itu kemudian tewas kepada calon BN Mohd Najib Samuri semasa pilihan raya negeri Johor awal tahun ini.

Menceritakan krisis dalam PAS selepas PRU 2013, Aminolhuda berkata, selepas tersingkir bersama pemimpin kanan lain dari parti itu dalam muktamar pada 2015, mereka berkumpul untuk bermesyuarat di Muar.

Tetap ada sokongan

Ketika itulah, katanya, keputusan muktamad dicapai untuk menubuhkan Amanah.

Mohamad Sabu yang sebelum itu merupakan timbalan presiden PAS dilantik sebagai ketua, manakala Salahuddin menjadi orang nombor dua.

Sekali lagi Aminolhuda berdepan dengan persimpangan kritikal. Dia kemudian membuat keputusan menyertai Amanah bersama semua penyokong dari 26 kawasan yang ada di seluruh Johor.

Penubuhan Amanah juga menandakan bermulanya era PH.

"Walaupun kita hanya sebahagian kecil, kena ingat bahawa tanpa Amanah dalam PH, PH semakin dilihat kecil.

"PH (tertubuh) daripada tiga tonggak iaitu PKR, DAP dan Amanah. Walaupun kami kecil sebab kita memang baru lahir, PKR baru 20 tahun, DAP lagi lama, maka kalau bahagian kita kecil, umur baru enam tujuh tahun, tak apalah," katanya lagi.

Menurut Aminolhuda memang pada PRU ke-15 baru-baru ini Amanah hanya memenangi lapan kerusi parlimen di seluruh negara - berbanding 11 pada 2018 - dia yakin parti itu mempunyai masa depan yang cerah.

Hal itu kerana, katanya, Amanah tetap mempunyai sokongan di seluruh negara.

Dalam PRU baru-baru ini juga menyaksikan kegagalan beberapa pemimpin kanan Amanah memenangi kerusi yang diberikan, termasuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Khalid Samad (Titiwangsa).

Mahfuz merupakan naib presiden Amanah manakala Khalid pengarah komunikasi parti.

Terkenal dengan wakil rakyat yang garang ketika berbahas di Dewan Rakyat sebelum ini, Aminolhuda berkata, dia mungkin tidak mengambil pendekatan sama seperti mereka di parlimen.

Sebaliknya dia lebih suka menganggap ucapannya sebagai satu lagi peluang untuk mendidik orang ramai.

Aminolhuda juga menyatakan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menang di kerusi parlimen Sepang pada 2018, Hanipa Maidin, merupakan bekas anak muridnya.

Katanya dia mengajar Hanipa semasa peguam berkenaan menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab.

"Pada saya hujah lawan hujah adalah lebih baik… tetapi Hanipa mempunyai latar belakang undang-undang, bermakna dia sudah biasa berkhidmat di mahkamah dan itu adalah suasana yang berbeza berbanding bilik darjah.

"Saya dalam DUN pun, kalau bercakap orang akan diam dan dengar, semua. Mereka nak ambik apa fakta saya sampaikan. Tapi mungkin kalau dah melampau, saya pun boleh naik angin," katanya lagi.

Aminolhuda berkata pengalamannya dalam dunia pendidikan juga akan menjadi asas penyertaannya dalam jawatankuasa pilihan atau perbahasan di Parlimen berhubung isu berkaitan, selain membangkitkan isu asas yang melibatkan pengundinya di Sri Gading.

Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang diadakan pada 19 Dis dan 20 Dis lalu menyaksikan majlis angkat sumpah semua ahli Parlimen baharu, termasuk Aminolhuda dan tujuh lagi daripada Amanah.