Skip to main
Logo Malaysiakini

CPTPP: ‘Mat Sabu janji bawa tuntutan NGO ke kabinet’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menyatakan komitmennya untuk membawa isu-isu berkaitan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang memberi impak kepada sektor pertanian negara, ke mesyuarat kabinet.

Jurucakap Forum Kedaulatan Makanan Malaysia Malaysia (MFSM) Nurfitri Amir Muhammad berkata Mohamad memberi jaminan untuk membawa enam tuntutan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai kesan CPTPP untuk dibincangkan pada mesyuarat kabinet.

“Komitmen menteri ialah dia berhubung lebih lanjut dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (Miti).

“Tetapi ini adalah keputusan perdana menteri dan kabinet, bukan Miti.

“Jadi perdana menteri perlu menjawab isu ini. Dia (Mohamad) akan bawa ke kabinet,” kata Nurfitri kepada pemberita selepas bertemu Mohamad di kementerian itu, hari ini.

Terdahulu, Nurfitri bersama wakil daripada 54 NGO menyerahkan memorandum memperincikan tuntutan itu dan mengadakan pertemuan sejam dengan Mohamad yang juga ahli parlimen Kota Raja di Putrajaya.

Pada 5 Oktober lalu, Miti menerusi kenyataan memaklumkan kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP.

MITI berkata selaras dengan itu, kerajaan menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September kalau.

Penyerahan IOR menjadikan Malaysia negara kesembilan meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai pada 8 Mac 2018.

Selain Malaysia, lapan lagi negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru telah meratifikasi CPTPP.

[Baca berita asal]