Skip to main
Logo Malaysiakini

'Rakyat nak kestabilan' - Nik Nazmi yakin k'jaan kekal hingga penggal tamat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Walaupun dengan ketidaktentuan ketika tempoh awal pasca-PRU15, Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad yakin kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim akan mampu membawa kestabilan yang sangat diperlukan oleh negara.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya, Nik Nazmi optimis kerajaan hari ini mencerminkan hasrat rakyat yang tidak ingin lagi melihat politiking yang telah membelenggu negara sejak Langkah Sheraton pada Februari 2020.

"Saya yakin kerajaan ini akan kekal (dalam penggal ini) dan kami boleh laksanakan kerja kami. Saya fikir ada hasrat yang besar untuk melihat kestabilan.

"Jika anda bercakap dengan komuniti perniagaan, penjawat awam dan masyarakat sivil, dan hakikat bahawa (semua gabungan) tiada majoriti, maka rakyat tahu kita perlu tubuhkan kerajaan gabungan.

"Saya dari latar belakang pembangkang dan kami memang tidak suka jika kerajaan ada majoriti dua pertiga, tetapi setelah menempuhi Langkah Sheraton, saya fikir rakyat terima yang kami kini ada majoriti dua pertiga," katanya.

Katanya, kerajaan baru ini menerima persepsi yang baik dan ia tidak boleh dipersiakan.

"(Ia menerusi) hakikat bahawa Anwar menjadi perdana menteri selepas 24 tahun (sejak dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri), kemudian dengan adanya kerjasama rentas parti dan sebuah kerajaan perpaduan.

"Kita perlu manfaatkan apa yang kita ada sekarang dan tebus kembali masa yang dipersiakan," katanya, sambil menambah rakyat ingin melihat negara bersaing dengan negara-negara serantau yang mengalami pertumbuhan yang rancak, seperti Indonesia dan Vietnam.

Usul undi percaya terhadap Anwar selaku perdana menteri lulus dengan undian suara.

Dalam satu lagi ujian terhadap tahap sokongannya, calon speaker dari pihak kerajaan, Johari Abdul menang dengan 147 undi - kurang satu undi untuk mencapai majoriti dua pertiga.

PH perlu tawan hati penyokong PN

Naib presiden PKR itu mengakui bahawa antara faktor yang membawa kepada kerjasama gabungan politik untuk menubuhkan kerajaan adalah kerisauan terhadap pengaruh PAS yang kian meluas, terutama dalam kalangan pengundi Melayu di luar bandar.

"Pada masa sama, penting untuk tidak meremehkan kekuatan mereka yang kian besar. Kita perlu faham mengapa orang menyokong mereka. Ia bukan hanya di pantai timur dan utara semenanjung. Mereka kian kuat termasuk di bahagian-bahagian tertentu di Selangor.

"Dan sejujurnya, saya tidak menjangka PN akan menjadi gabungan kedua (terbesar) dan menewaskan Umno di kawasan saya," katanya lagi.

Nik Nazmi mempertahankan kerusi Parlimen Setiawangsa dengan meraih 34,434 undi, menewaskan calon PN Nurul Fadzilah Kamaluddin (22,270 undi) dan calon BN Izudin Ishak (16,333 undi).

"Saya rasa kita agak meremehkan mereka...Kita burukkan orang yang mengundi mereka tanpa memahami kenapa ia berlaku.

"Saya akan terus menjalinkan hubungan (engage) dengan mereka. Hakikatnya kita berjaya membuatkan rakyat tidak menyokong BN namun ramai di kalangan mereka sebaliknya beralih kepada PAS dan PN (dan bukannya PH)," katanya lagi.

Justeru, kata Nik Nazmi, ketika dia ke Kelantan untuk melihat keadaan banjir beberapa hari lalu, dia berhubung dengan wakil rakyat setempat dan kalangan di lapangan untuk memastikan saluran perhubungan sentiasa ada.

"Perdana menteri katakan ini dengan jelas - kita tidak boleh mengulangi kesilapan pentadbiran lalu yang menghukum rakyat yang mengundi parti lain.

"Kelantan telah dihukum sejak sekian lama namun ia tidak menghalang penduduknya mengundi PAS sejak 1990. Kita perlu menjalinkan hubungan, bukannya mengabaikan mereka," katanya lagi.

[Baca berita asal]